Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia sedia hulur bantuan kepada kerajaan Sri Lanka - Saifuddin

Malaysia bersedia untuk menghantar bantuan kepada kerajaan Sri Lanka bagi kerja-kerja pemulihan di kawasan terjejas ekoran serangan bom terancang yang menggegarkan beberapa lokasi di negara pulau itu, dan mengorbankan lebih 130 orang, semalam.

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah berkata beliau telah bercakap dengan rakan sejawatannya dari Sri Lanka, Tilam Marapana untuk menyampaikan takziah daripada kerajaan Malaysia kepada mangsa dan keluarga yang terjejas dalam insiden serangan yang tidak masuk akal serta kejam itu.

"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini dan menggesa supaya pelakunya dibawa ke muka pengadilan," tegas beliau dalam kenyataan ringkas yang dimuat ke dalam akaun Facebook, malam tadi.

Satu siri letupan menggegarkan beberapa lokasi iaitu Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa di Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan, mengorbankan lebih 130 orang, termasuk sembilan warga asing.

Awal hari ini, Wisma Putra menerusi satu kenyataan mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam insiden itu.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS