Paling Popular
Terkini

Pembunuhan berkoordinasi serentak di beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka adalah satu lagi peristiwa hitam dalam siri keganasan yang mensasarkan kelompok agama tertentu.

Pembunuhan kejam ke atas pengamal agama semasa mereka di rumah ibadat mereka adalah satu perbuatan terkutuk dan tidak boleh dimaafkan. Tiada bangsa, agama atau kepercayaan boleh menerima perbuatan kejam sedemikian rupa.

Sebelum ini, pembunuhan puluhan jiwa umat Islam di Christchurch, New Zealand dilakukan oleh seorang pembunuh. Tetapi peristiwa di Sri Lanka dilakukan serentak oleh beberapa pasukan dengan cara yang terancang ke atas orang Kristian.

Perkara ini adalah sangat menggerunkan dan membimbangkan kita tidak kira apa pun anutan agama dan bangsa kita. Adakah ini satu lagi ancaman situasi terkini yang akan kita hadapi dalam waktu yang akan datang? Sesungguhnya 'trend' ini sangat membimbangkan.

Semua agama, bangsa dan negara yang menolak keganasan mesti bersatu menghadapi ancaman terbaru ini. Malaysia sebagai negara berbilang agama dan kaum mesti ke hadapan mendahului negara lain dalam menangani isu sebegini.

Media siber di internet merupakan alat yang sering disalahgunakan untuk menyebar kebencian dan juga merancang keganasan secara tersusun. Insiden keganasan yang berlaku di New Zealand dan Sri Lanka telah menunjukkan kepada kita peranan media siber dalam peristiwa-peristiwa tersebut. Kerajaan berkenaan terpaksa mengawal pantas media tersebut selepas tercetusnya peristiwa hitam tersebut.

Pembunuhan kejam melalui keganasan ini tidak mengenal agama dan bangsa. Hari ini juga keganasan tidak lagi menghormati dan mengenali rumah ibadat seperti masjid, gereja, kuil dan hari kemuliaan mana-mana agama baik hari Jumaat untuk umat Islam dan hari Ahad untuk penganut Kristian.

Perbuatan ganas dan kejam ini mesti dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua pihak. Ketua agama semua kepercayaan di seluruh dunia mesti bersatu mengecam, mengutuk dan menghalang segala bentuk keganasan dan kebencian.

Amanah mengucapkan takziah dan menyatakan kekesalan yang tidak terhingga kepada semua mangsa serta keluarga mereka yang telah terkorban dalam pembunuhan yang kejam tersebut. Amanah amat bersimpati dengan apa yang sedang dihadapi oleh semua mangsa serta ahli keluarga yang terlibat.

Keganasan akan menimbulkan lebih banyak kebencian dan boleh mengakibatkan pembunuhan kejam yang tidak berperi kemanusiaan yang berterusan.

An eye for an eye will make the whole world blind.

Saling berbunuhan akan membuat seluruh dunia buta dan hilang arah tuju!

Hanya interaksi serta dialog membina dan harmoni antara agama dan pelbagai kaum akan menyelesaikan masalah perbezaan pendapat di dunia hari ini.

Keganasan adalah musuh 'universal' kita bersama. Kita semua perlu bersama-sama dalam menghadapi dan melawan apa jua bentuk keganasan.


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH ialah pengerusi Biro Antarabangsa Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS