Umno Johor Bahru akui terima cek RM300,000 dari Najib
Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata beliau menerima cek berkenaan daripada Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Najib Razak iaitu Allahyarham Azlin Alias di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Abu Talib berkata setelah menerima panggilan daripada arwah, beliau memaklumkan perkara itu kepada ketua bahagian parti sebelum diarah untuk mendapatkan cek berkenaan.
"Ketika berada di pejabat berkenaan, saya diberikan satu sampul putih…saya membuka dan melihat sekeping cek yang diberi atas nama Umno Bahagian Johor Bahru," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan kes Najib yang masuk hari keenam.
Beliau kemudian memasukkan cek itu di Maybank Putrajaya pada hari yang sama.
Terdahulu, ketika diminta mengecam Najib yang berada dalam kandang tertuduh, saksi berkata "tu ada, malu apa bossku" yang menyebabkan peguam dan mereka yang berada dalam mahkamah tergelak. Bagaimanapun, Abu Talib kemudian memohon maaf kepada mahkamah atas perbuatannya itu.
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, beliau berkata dana RM300,000 tersebut digunakan pihaknya untuk pelbagai program dan aktiviti parti.
Muhammad Shafee: Dana itu digunakan untuk aktiviti atau program apa?
Abu Talib: Sebenarnya dana itu digunakan untuk membantu 86 cawangan dalam Umno Bahagian Johor Bahru termasuk pada bulan puasa, sumbangan kepada fakir miskin serta (mangsa) bencana seperti ribut dan banjir.
Muhammad Shafee: Betul tak, selain daripada cek ini, ada terima sumbangan daripada presiden-presiden parti sebelum ini?
Abu Talib: Ya, betul.
Muhammad Shafee: Setuju tak, pemberian sumbangan ini adalah satu amalan biasa?
Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.
- Bernama

