Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tangkap, hukum pengebom di Sri Lanka’
Diterbitkan:  Apr 22, 2019 4:03 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Kerajaan negeri Kelantan berharap Presiden Maithripala Sirisena dan kerajaan Sri Lanka menjalankan siasatan komprehensif dan membawa pelaku-pelaku pengeboman ke atas beberapa gereja dan hotel di negara itu ke muka pengadilan.

Perkara itu ditegaskan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob yang mengutuk serangan bom yang berlaku semalam.

"Kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom yang berlaku pada 21 April di Sri Lanka yang mensasarkan beberapa buah gereja dan hotel mewah sehingga mengakibatkan lebih ratusan orang terbunuh, manakala lebih 400 lagi cedera dalam insiden berkenaan.

"Apatah lagi kejadian berlaku bersempena hari perayaan Kristian iaitu hari Easter.

"Ucapan belasungkawa dan dukacita kepada semua keluarga mangsa yang terkorban disebabkan elemen keganasan dan ekstremis yang mahu memecah-belahkan antara etnik dan agama," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS berkata, pihaknya berharap rakyat Sri Lanka yang dalam situasi tragis ini untuk kekal bersatu dan terus kuat.

"Tindakan ini adalah cubaan bagi mewujudkan rasa panik dan mengganggu ketenteraman awam.

"Ia boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan antara agama. Islam dan mana-mana agama di dunia sangat mendokong keamanan dan keadilan. Semua agama di dunia menolak sekeras-kerasnya keganasan dan ekstremis dalam apa jua bentuk," katanya.

Lihat Komen
ADS