Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lulus darjah 6 bukan halangan berkhidmat - Exco Johor
Diterbitkan:  Apr 22, 2019 5:55 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Walaupun hanya mendapat pendidikan sehingga darjah enam, Tosrin Jarvanthi tidak pernah menjadikan ini satu kekurangan malah sebagai pembakar semangat untuk beliau melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat selama ini.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor yang baru itu mencuri perhatian media apabila mengakui dirinya hanya mempunyai kelayakan pendidikan setakat darjah enam.

Bagaimanapun, veteran politik itu bukanlah orang baru dalam pentadbiran, malah pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sedili satu ketika dahulu, sebelum sekali lagi memegang kerusi Adun bagi Bukit Permai, dengan tiket parti berbeza.

Tosrin turut menegaskan latar belakang itu tidak sesekali akan mematahkan semangatnya untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan negeri demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Johor.

"Saya cakap terus terang, saya tak tipu saya tiada sijil, tiada diploma saya hanya bersekolah setakat darjah enam sahaja di Sekolah Kebangsaan Ladang Fraser dan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Rinting.

"(Bagaimanapun) saya menganggap saya muda lagi dan sebelum ini, ada sebahagian pegawai saya yang muda, tidak terkejar dengan cara saya (cara bekerja)," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media sempena pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di pejabat Menteri Besar di Iskandar Puteri, hari ini.

Sebagai bukti, beliau telah pun menyediakan satu rangka kerja di bawah portfolionya untuk memastikan beliau dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Tosrin (gambar), 69, pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Muhyiddin Yassin, yang ketika itu timbalan perdana menteri.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang Mohd Solihan Badri menyifatkan amanah yang diberikan kepada beliau agak berat dan mencabar dan beliau akan sedaya upaya melaksanakannya dengan baik.

Mohd Solihan, 62, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri yang baharu menggantikan Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.

“Saya akan lihat sama ada (Mazlan Bujang) telah menyusun strategi pembangunan Johor. Jika ada, saya akan teruskan dan ditambah baik.

“Saya dengan Mazlan adalah rakan yang baik, saya banyak berhubung dengan beliau, sama ada dalam parti ataupun di luar parti.

"Oleh itu, saya rasa khidmatnya masih diperlukan,” kata beliau yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM).

Bagi Adun Jementah, Tan Chen Choon yang diamanahkan dengan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar pula, pengalamannya dalam pelbagai bidang termasuk menjadi seorang jurutera di syarikat swasta, sebelum ini, akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab.

Katanya, beliau juga berterima kasih kepada partinya iaitu parti DAP serta Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat dalam barisan exco.

- Bernama

Lihat Komen
ADS