Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tan harap rombakan exco beri kesan positif agenda reformasi
Diterbitkan:  Apr 22, 2019 6:08 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Bekas exco Johor Tan Hong Pin berharap rombakan dalam majlis exco akan memberi impak positif kepada agenda reformasi.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Adun Skudai itu berkata rombakan majlis exco yang menyaksikan penggugurannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Johor tidak akan melemahkan pentadbiran PH.

"Saya bakal terus berperanan mendokong agenda reformasi yang perlu dibawa PH terhadap pentadbiran kerajaan negeri Johor. Agenda reformasi adalah referendum rakyat buat PH Johor.

"Pengumuman tersebut juga ibarat sireh pulang ke gagang bagi saya yang akan terus komited berkhidmat dan meneraju suara rakyat dan pengundi di DUN Skudai.

"Sementara itu, saya akan memainkan peranan semak imbang yang aktif di barisan penyokong kerajaan (backbencher) dalam Dewan Negeri Johor kelak bagi mengutamakan kepentingan rakyat berbanding individu dan politik," tambahnya.

Tan dan pemimpin Bersatu, Mazlan Bujang hari ini merupakan dua exco yang tidak dilantik semula dalam barisan majlis exco menteri besar Johor yang baru Dr Sahruddin Jamal.

Malaysiakini sebelum ini memetik sumber melaporkan kedua-dua mereka tidak disenangi istana Johor.

Tiga muka baru yang mengangkat sumpah hari ini ialah Tosrin Javanthi (Bersatu), Mohd Solihan Badri (Bersatu) dan Tan Chen Choon (DAP).

Ketika memaklumkan rombakan exco sebelum ini, Sahruddin berkata dia mahu bekerja dengan pasukan yang dia selesa.

Sementara itu, mengulas lantikan barisan exco hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir berkata istana Johor tidak mempengaruhi pemilihan berkenaan dan ia merupakan keputusan PH Johor.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Tan turut menyorot usahanya selama memegang portfolio Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor selama 11 bulan dan berharap inisiatif yang sudah dimulakan akan diteruskan penggantinya.

Mazlan pula hari ini menyifatkan barisan exco yang dilantik hari ini terdiri daripada pasukan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Lihat Komen
ADS