Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat kes pelajar sekolah swasta dipukul
Diterbitkan:  Apr 22, 2019 6:35 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Polis sedang menjalankan siasatan susulan laporan berhubung kes pukul melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah sekolah swasta di sini pada 10 April lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Nor Azmy Yusoff berkata pihak polis telah mengambil keterangan daripada empat orang yang terdiri daripada ibu mangsa dan saksi-saksi kejadian.

“Pihak polis juga telah pergi ke sekolah berkenaan untuk mengambil keterangan pihak pentadbiran pada 12 April dan dimaklumkan pihak sekolah akan memberikan segala maklumat kejadian setelah mereka menyelesaikan siasatan dalaman.

“Pihak sekolah juga telah menggantung persekolahan suspek yang berusia 14 tahun itu selama tiga hari sehingga 12 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis sedang mengesan saksi-saksi lain kejadian itu supaya tampil memberikan keterangan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Difahamkan, pelajar berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dirawat di Hospital Gleneagles.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Emilia Jamil di talian 016-247 9017, Pegawai Penyiasat Kanan ASP Shahrizal Salleh di talian 017-713 4705 atau mana-mana balai polis berdekatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS