Bekas TKM tinggalkan Gerakan selepas dicalon tanding di Sandakan
Hasrat Gerakan untuk meletakkan bekas timbalan ketua menteri Sabah Raymond Tan sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil Sandakan tidak kesamapaian apabila dia meninggalkan parti itu dua hari lalu.
Susulan itu, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata parti itu tidak akan bertanding kerusi berkenaan kerana ketiadaan calon yang sesuai.
Bercakap pada sidang akhbar di Kuala Lumpur pagi ini, beliau berkata, Gerakan Sabah telah diarahkan untuk tidak berkempen membantu mana-mana parti atau calon bebas pada pilihan raya 11 Mei.

Kerusi DUN Sandakan, yang merupakan kubu kuat DAP, kosong berikutan kematian penyandangnya Stephen Wong pada 28 Mac.
Menurut Lau, terdapat 35 anggota yang bertindak bersama Tan meninggalkan Gerakan - semua mereka pernah menjadi anggota Parti Progresif Sabah (SAPP) - sebelum menyertai Gerakan pada tahun 2009.
"Sudah tentu, kami percaya bahawa gerakan ini ada berkaitan dengan pilihan raya kecil Sandakan," katanya, sambil menambah bahawa beliau menawarkan Tan untuk bertanding sejak minggu lalu namun tidak menerima maklum balas hingga Isnin lalu.
Dalam perkembangan lain, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil inisiatif untuk menghantar kad pengundi kepada 39,349 orang pengundi yang meliputi 270 orang pengundi awal dan 39,079 orang pengundi biasa.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata tindakan itu adalah dalam usaha menggalak serta memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan.
Menurut beliau kad pengundi itu mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi yang akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal iaitu 7 Mei dan hari mengundi biasa pada 11 Mei depan.
“Pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.
“SPR telah mengedarkan kad pengundi mulai 19 April lepas kepada semua pengundi bagi PRK Parlimen P.186 Sandakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azhar juga berkata SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.
Katanya lagi, mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan di portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak.
Beliau berkata pengundi juga boleh menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN) dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018.






