Paling Popular
Terkini

BN membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang dijadualkan berlangsung pada 11 Mei.

Pemangku Pengerusi BN, Mohamad Hasan menyifatkan BN belum bersedia untuk bertanding kerusi yang ditandingi oleh bekas rakan komponennya di Sabah itu.

BN juga akan memutuskan parti yang akan disokong mereka bagi kerusi berkenaan selepas hari penamaan calon yang dijadualkan 27 April nanti.

"Kita telah berbincang panjang lebar mengenai PRK Sandakan dan BN membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRK Sandakan.

"Ini memandangkan kerusi itu adalah selama ini diwakili rakan kita BN, parti tempatan di Sabah. Kita belum lagi bersedia untuk ambil bahagian.

"Kita akan fikir macam mana hendak bagi sokongan pada pihak-pihak yang ambil bahagian," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN di Kuala Lumpur, malam ini.

Hadir sama Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, S A Vigneswaran.

PRK Parlimen Sandakan diadakan susulan kematian penyandangnya, mendiang Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Setakat ini Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Reformasi Negeri (Star) telah mengesahkan akan bertanding pada PRK Sandakan.

Star dan PBS merupakan parti dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Selain itu, seorang calon bebas juga telah membuat pengumuman untuk bertanding.

Mohamad berkata, pihaknya akan menilai parti bertanding yang mesra BN untuk menyatakan sokongan.

Rangka kerja bersama PAS

Dalam pada itu Mohamad turut ditanya mengenai mesyuarat jawatankuasa teknikal Umno, PAS kali kedua yang berlangsung malam ini.

Beliau menjelaskan ia adalah bagi membincangkan rangka kerja untuk di bawa ke perbincangan jawatankuasa induk parti masing-masing.

"Sudah hampir siap, sudah buat piagam, ini hendak dibincangkan pada peringkat akhir jawatankuasa teknikal," jelas Mohamad.

Sementara itu, mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN malam ini juga turut mengecam serangan terhadap tiga hotel dan gereja di Sri Lanka yang mengorbankan ratusan nyawa.


Lihat Komen
ADS