Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Matrikulasi: Kuota kekal, pelajar ditambah - Dr Maszlee
Diterbitkan:  Apr 24, 2019 5:04 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Kuota pengambilan pelajar ke program kolej matrikulasi dikekalkan pada kadar 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus kepada bukan bumiputera, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas isu kuota matrikulasi dibangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini.

"Ia selaras dengan visi asal program matrikulasi bagi menggalakkan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa supaya segera menjelaskan jumlah pengambilan pelajar ke kolej matrikulasi berdasarkan kuota kaum bagi tahun 2019.

Senator S Ananthan yang juga pengerusi MIC Kedah berkata terdapat perbincangan hangat di kalangan netizen mengenai isu kuota matrikulasi ini sehinggakan ada pihak mengambil kesempatan dengan memainkan sentimen perkauman.

Sementara itu, Maszlee mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini.

Katanya, usaha itu dilaksanakan bagi memastikan pelajar-pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik bagi melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

"Kerajaan PH melihat wujud keperluan utama untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada program matrikulasi wajar dimaksimumkan untuk tujuan ini.

"Keputusan ini juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan program matrikulasi dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum," katanya yang juga anggota parlimen Simpang Renggam.

Susulan itu jelas beliau, KPM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berkaitan kos berikutan jumlah pelajar dalam masa terdekat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.

"Jemaah menteri juga meminta KPM untuk menilai pendekatan strategik yang bersesuaian termasuk menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menampung pertambahan yang diputuskan ini," jelasnya. 

Lihat Komen
ADS