Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Setahun pentadbiran PH, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun merupakan satu-satunya menteri yang dilihat agak pasif dalam kalangan pemimpin kerajaan baru itu, khususnya dalam memberi maklum balas berhubung isu semasa.

Mengakui mendengar dakwaan tersebut, Rina menegaskan sikap pasifnya itu bersebab.

Ketua Srikandi Bersatu itu berkata hal ini kerana tumpuan beliau adalah menjalankan tanggungjawab dalam portfolio yang diamanahkan kepadanya berbanding bercakap soal politik dan juga memberi komen mengenai kementerian lain.

"Saya akui perkara itu dan saya juga dengar orang cakap mengenainya. Selama setahun saya mengetuai kementerian ini memang ada banyak dugaan dan cabaran yang mana kamu (media) semua tahu, awal-awal dulu ada beberapa isu dengan media dan sekarang alhamdulillah semakin baik, saya juga belajar.

"Cumanya saya suka nak tegaskan bahawa saya mengambil sikap untuk fokus kepada melaksanakan.

"Sebabnya, saya bukan jenis cakap saja tapi saya buat, macam contoh kita sasarkan 60 peratus (pelaksanaan) tapi saya buat sampai 67 peratus dan sebab itu saya lebih fokus kepada kementerian saya, yang mana saya pentingkan hasil," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Rina berkata demikian mengulas dakwaan pihak-pihak tertentu beliau tidak menjalankan tugas dengan baik sejak dilantik sebagai menteri pembangunan luar bandar.

Mengulas lanjut, Rina yang juga timbalan ketua Wanita PH berkata kerja kerasnya itu hanya dapat dibuktikan melalui pencapaiannya selepas hampir setahun mengetuai kementerian berkenaan.

Kata Rina, berdasarkan fakta dan rekod kementeriannya, seramai 500,000 masyarakat luar bandar telah mendapat manfaat daripada Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018 hingga 2023.

Menurutnya, pembangunan luar bandar ialah tumpuan kerajaan dalam memastikan rakyat segenap lapisan dapat menikmati pembangunan ekonomi negara.

Jurang pembangunan bandar, luar bandar

Dalam konteks pentadbiran, kata Rina banyak perkara yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kementerian yang diterajuinya demi manfaat rakyat.

"Berdasarkan program-program yang dibuat kementerian seramai 500 ribu orang telah mendapat manfaatnya dan apa yang menjadi falsafah dan matlamat perjuangan saya ialah merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar yang tidak hanya terbatas kepada infrastruktur, malah dari segi ekonomi dan penjanaan modal insan, penggunaan teknologi baharu memenuhi keperluan jangka masa panjang,” katanya.

Beliau juga menjelaskan mengenai Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018 hingga 2023 dengan tema Luar Bandar Sejahtera merangkumi 29 strategi dan 94 program yang akan dilaksanakan di bawah enam teras iaitu prasarana, ekonomi, keusahawanan, modal insan, wanita dan sistem penyampaian.

Rina dilantik menjadi sebagai menteri pembangunan luar bandar dalam kabinet baharu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau merupakan antara 'giant killer' pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu apabila memenangi kerusi parlimen Titiwangsa dengan menumbangkan calon BN dan penyandang kerusi, Johari Abdul Ghani, yang juga bekas menteri kewangan kedua serta Mohamad Noor Mohamad dari PAS.

Isu rombakan kabinet

Rina mula aktif di arena politik negara sejak 2002 sebagai ketua Puteri Umno Bahagian Sepang selain pernah memegang beberapa jawatan dalam Puteri Umno termasuk exco Puteri Umno Malaysia pada 2009 sebelum menyertai Bersatu.

Anggota parlimen Titiwangsa itu juga aktif melibatkan diri bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dibesarkan di Jalan Gurney di Kuala Lumpur, Rina menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat 1 sebelum melanjutkan pendidikan ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Baharu.

Rina mempunyai Diploma Pengajian Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kewangan dan Perbankan dari Northwood University, Michigan, Amerika Syarikat.

Beliau juga pernah berkhidmat di sektor perbankan.

Isu rombakan kabinet PH antara isu yang sering kali dibangkitkan ekoran prestasi beberapa menteri Bersatu.

Dan nama Rina antara yang selalu disebut-sebut akan digugurkan daripada jemaah kabinet PH. 

Lihat Komen
ADS