Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Pada tahun 1994 Reccep Tayyip Erdogan telah dipilih sebagai Datuk Bandar Kota Istanbul. Bandar raya bersejarah tersebut mempunyai nilai sejarah yang sangat tinggi kerana ia adalah syiar kepada kewibawaan khilafah Uthmaniyyah. Keadaan kota Istanbul dilaporkan pada ketika itu sangat berbeza dengan wajah bandar raya berkenaan yang ditatap oleh para pengunjung dari seluruh pelosok dunia termasuk daripada Malaysia pada hari ini.

Di bawah kepimpinan Reccep Tayyip Erdogan selaku datuk bandar pelbagai inisiatif telah digerakkan untuk memperbaiki keadaan serta meningkatkan taraf hidup penduduk Istanbul. Masalah kebersihan yang membayangi kota tersebut di atasi dengan memperkenalkan sistem pelupusan sampah berasaskan kitar semula yang efisien serta mesra alam.

Sepanjang tempoh 1994 serta 1998, penduduk Istanbul mula menikmati merasai akses kepada air bersih setelah rangkaian paip serta saluran air yang meliputi keseluruhan kota tersebut siap dibina. Masalah pencemaran udara yang melanda kota tersebut diatasi dengan memperkemaskan jaringan pengangkutan awam untuk mengurangkan jumlah kenderaan yang melingkari kota Istanbul.

Justeru bukanlah suatu perkara yang menghairankan sehingga beberapa tahun lalu, kemajuan dicapai negara tersebut sehingga Turki muncul sebagai antara kuasa baru global turut dikaitkan dengan latar belakang cemerlang Reccep Tayyip Erdogan sebagai datuk bandar Istanbul. Atas sebab itu pilihan raya perbandaran dan kerajaan Turki yang baru berakhir pada 31 Mac lalu menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Kejutan telah melanda kota Istanbul sesudah detik 31 Mac 2019 yang lalu. Penduduk bandar raya yang melatari kebangkitan Reccep Tayyip Erdogan itu telah memilih daripada Parti Republikan Rakyat (CHP) sebagai datuk bandar yang baru. Walaupun Reccep Tayyip Erdogan mendesak proses pengundian diadakan semula, namun sehingga ketika ini kota Istanbul secara rasminya akan ditadbir oleh Ekrem Imamoglu.

Dua sisi politik Erdogan

Ada dua sisi perspektif yang boleh kita pelajari daripada perkembangan politik Turki khususnya pada era Reccep Tayyip Erdogan.

Perspektif pertama; perubahan yang berlaku dimulai di Istanbul serta kemudiannya Turki secara keseluruhan berlaku lantaran keupayaan Erdogan dan barisan kepimpinan beliau untuk mengenal pasti dan menyusun keutamaan berdasarkan pada keadaan persekitaran dan kehendak rakyat.

Pastinya tumpuan awal adalah untuk membangunkan ekonomi yang menjadi asas utama untuk merangsang kemajuan Turki. Populariti politik Reccep Tayyip Erdogan dikatakan berakar daripada perubahan positif yang melanda lanskap sosio ekonomi rakyat Turki.

Atas sebab tersebut juga kepimpinan Reccep Tayyip Erdogan mampu bertahan daripada ancaman khususnya daripada golongan tentera Turki (selaku pengawal sekularisme Kamal Attaturk) dan gerakan yang diketuai Fethullah Gulen.

Perspektif kedua: ada kelemahan dalam kepimpinan Reccep Tayyip Erdogan yang semestinya mengundang kritikan daripada sesetengah pihak termasuk dalam kalangan rakyat Turki sendiri. Kritikan itu timbul daripada ruang demokrasi yang meluangkan kebebasan bersuara walaupun kritik mengatakan ia sebagai tidak memadai.

Di sebalik kritikan serta beberapa tindakan Reccep Tayyip Erdogan, hakikatnya kuasa rakyat Turki yang telah menggagalkan tindakan kudeta (rampasan kuasa) oleh sebahagian pemerintah tentera Turki pada Julai 2016 yang lalu.

Reccep Tayyip Erdogan dalam peristiwa tersebut terpaksa memanfaatkan aplikasi media sosial, Face Time, untuk menyeru rakyat Turki turun beramai-ramai ke jalan raya. Pengkritik beliau mengatakan hakikatnya bukanlah hayat politik presiden Turki tersebut yang ingin dilanjutkan. Sebaliknya

Iktibar untuk Malaysia Baharu

Malaysia Baharu. Barangkali tiada perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan anjakan penghijrahan ke era Malaysia Baharu daripada yang dinukilkan sendiri oleh tokoh Maal Hijrah 1440H, Dr Siddiq Fadzil, menerusi syarahannya:

“Malaysia Baharu tersirat makna segunung harapan terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjamin keselamatan. Segala harapan tersebut hanya akan dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya. Malaysia Baharu harus benar-benar suatu departure, suatu anjakan mendasar dari era sebelumnya, era yang tercedera dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral.”

Sekali imbas latar latar Turki dan Malaysia jauh berbeza di antara satu sama. Akan tetapi makna di sebalik Malaysia Baharu sepertimana yang diungkapkan idealog terkemuka tanah air itu memerlukan amanat perubahan tersebut direalisasikan sepenuhnya.

Dalam masa yang sama perubahan-perubahan tersebut perlu dipimpin secara bijaksana dan berhikmah. Perubahan-perubahan itu seharusnya mampu meringankan sebarang kerisauan yang membebani hati dan perasaan rakyat.

Selanjutnya dalam hal ini, Dr Siddiq Fadzil juga pernah mengungkapkan bahawa sesuatu perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, memerlukan kita menghadami aplikasi fiqh al-taghyir (fikah perubahan) agar matlamat di sebalik sesebuah perubahan dapat dicapai.

Pemahaman terhadap aplikasi fiqh al-taghyir menurut idealog ini akan mengingatkan kita daripada menciptakan masalah-masalah yang tidak teratasi. Selanjutnya Dr Siddiq Fadzil juga turut menukilkan menerusi makalah amanat pimpinan Wadah pada tahun 2013 bahawa “politik perubahan dalam pengertian siyasat al-taghyir harus didasarkan pada fiqh al-waqi‘ atau kefahaman yang tepat dan mendalam tentang realiti yang ditangani.”

Penulisan ini tidak bertujuan untuk mengagung-agungkan sosok tertentu khususnya ahli politik seperti Reccep Tayyip Erdogan. Kebenarannya beliau adalah manusia yang sama seperti kita. Tidak terlepas daripada sebarang khilaf mahupun kesilapan.

Kota Istanbul dan Turki mengingatkan kita bahawa perubahan boleh direalisasikan sekiranya menyusun serta melaksanakan sesebuah perubahan tersebut menurut keutamaan serta keperluan rakyat.


FIRDAUS HAMSIN ialah penulis dan penyelidik sepenuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS