Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kementerian Pengangkutan yakin permohonan mereka untuk mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas kerusi keselamatan kanak-kanak akan mendapat reaksi positif daripada Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaafar, berkata ketika ini kerusi keselamatan tersebut dijual pada harga minimum RM200 setiap satu.

Katanya permohonan untuk pengecualian itu sudah dikemukakan dan dibincangkan namun belum ada keputusan muktamad mengenainya dibuat.

"Namun kementerian yakin akan dapat jawapan positif," katanya ketika ditemui media selepas perasmian kempen Malaysia Buckle Up di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pagi tadi.

Hadir sama Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Dr Siti Zaharah Ishak dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Wong Yau Duenn.

Kenyataan itu dibuat menjelang peraturan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak mulai tahun depan.

Dalam pada itu, Kamarudin menjelaskan kanak-kanak dan bayi mempunyai risiko kecederaan dan kematian yang tinggi apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Berdasarakan kajian Miros, katanya, 31 atau 58 peratus daripada 53 kanak-kanak dan bayi yang terlibat dalam kemalangan jalan raya terkorban.

Katanya kajian juga menunjukkan seorang bayi atau kanak-kanak kecil di bawah berat 7kg boleh tercampak ke hadapan sekiranya berlaku pelanggaran.

Katanya kesan daripada pelanggaran itu menyamai impak seorang dewasa terjatuh dari tingkat lima sesebuah bangunan.

"Oleh itu, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak mampu mengurangkan 70 peratus risiko kecederaan atau kematian pada bayi dan antara 54 peratus hingga 80 peratus untuk kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun," jelas Kamarudin.

Lihat Komen
ADS