Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili hari ini mengumumkan partinya akan mencalonkan Linda Tsen untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Tsen, 64, merupakan bekas ahli parlimen Batu Sapi yang menang pada PRK pada 2010 selepas suaminya, yang merupakan penyandang parlimen itu, Edmund Chong terkorban dalam kemalangan jalan raya.

Pada pilihan raya umum lalu, Tsen kalah pada Pengerusi Tetap Warisan Liew Vui Keong dalam pertembungan empat penjuru.

PBS berharap menggunakan pengalaman Tsen memandangkan parlimen Batu Sapi bersebelahan dengan parlimen Sandakan.

"Kita sudah menapis ramai calon berpotensi, tua dan muda, saya sendiri menemu ramah beberapa golongan profesional, peguam dan akauntan namun akhirnya kita pilih Linda Tsen, dengan mempertimbangkan maklum balas akar umbi dari dua DUN, Elopura dan Tanjung Papat serta parlimen Sandakan secara umum.

"Dia bukan saja berpengalaman tapi juga pernah berkhidmat di Batu Sapi. Dia mudah digemari dan rapat dengan akar umbi," kata Ongkili dalam sidang media di pusat khidmat Elopura.

Ahli parlimen Kota Marudu itu juga berterima kasih kepada Umno, MCA, SAPP, Star dan parti tempatan lain yang memberi laluan kepada PBS bertanding satu lawan satu dengan DAP.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin berkata Umno akan menyokong calon PBS.

Bung Moktar yang juga merupakan pengerusi Umno Sabah berkata dia sudah berhubung dengan Ongkili mengenai perkara itu.

PBS merupakan parti dalam pakatan pembangkang, Gabungan Bersatu Sabah, yang terdiri daripada bekas parti komponen BN.

Hari pencalonan bagi kerusi itu akan diadakan esok, sementara hari pengundian pada 11 Mei.

DAP mencalonkan Vivian Wong, 30, yang merupakan anak perempuan mendiang Stephen Wong, penyandang kerusi parlimen Sandakan.

Tanpa menyebut nama Vivian, Ongkili berkata, tugas sebagai ahli parlimen tidak sesuai bagi orang yang masih mentah.

"Penting untuk seorang ahli parlimen bersuara di parlimen dengan lantang dan jelas. Tugas seperti itu tidak sesuai untuk orang baru atau perwakilan yang belum pernah diuji.

"Saya fikir, suara pengundi Sandakan akan tenggelam jika ahli parlimen orang baru. Dan kita menawarkan pilihan melalui calon PBS Linda Tsen," katanya.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS