Yang di-Pertuan Agong dan Sultan tidak akan tertakluk untuk dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kedudukan mereka sebagai raja berperlembagaan, kata Peguam Negara Tommy Thomas hari ini.

Bercakap di forum yang membincangkan keputusan kerajaan Malaysia menarik diri dari menyertai Statut Rom, Thomas berkata ICC dengan jelas menyatakan bidang kuasa terhadap empat jenayah berat antarabangsa.

"Jadi sebagai contoh, jika isytihar perang, meskipun Agong merupakan pemerintah tertinggi angkatan tentera, keputusan berhubung perang akan sentiasa dibuat oleh perdana menteri, kabinet dan menteri pertahanan.

"Operasi pula akan dikendalikan oleh jeneral atau laksamana," katanya.

"Jika Malaysia terlibat dengan jenayah perang, orang yang akan kemungkinan didakwa di ICC adalah perdana menteri, menteri, jeneral, tapi bukan raja kerana baginda adalah raja berperlembagaan," kata Thomas pada forum anjuran kumpulan aktivis pelajar di Universiti Malaya, hari ini.

Thomas memetik contoh gesaan antarabangsa terhadap bekas perdana menteri UK Tony Blair atas tindakan tentera Britain pada 2003 ketika kempen pencerobohan ke atas Iraq yang dipimpin AS.

Jelas Thomas, gesaan adalah ke atas bekas presiden itu dan bukannya terhadap Ratu Elizabeth.

Selain jenayah perang, Artikel 5 Statut Rom menggariskan bidang kuasa ICC berhubung jenayah penghapusan kaum, jenayah kemanusiaan dan jenayah pencerobohan yang dilakukan ketika negara itu telah menyetujui Statut Rom.

[Baca berita asal]