Bersih mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik Lajim Ukin yang merupakan ahli politik veteran Sabah sebagai pemerhati dalam pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Lajim yang pernah menyertai beberapa parti politik berbeza, kini merupakan anggota Bersatu yang merupakan parti sekutu DAP dalam gabungan PH.

Dalam kenyataan media hari ini, Bersih berkata pemerhati pilihan raya perlulah bukan dari pihak yang dikaitkan dengan mana-mana parti politik, apa lagi ahli politik yang mempunyai kaitan dengan parti yang bertanding.

Bersih berkata, ia merupakan piawai yang ditetapkan dalam Pengisytiharan Prinsip Global untuk Pemerhati dan Pemantauan Pilihan Raya Bukan Partisan oleh Citizen Organizations (Suruhanjaya Venice).

"Pentingnya mempunyai pemerhati yang bukan dari mana-mana parti politik dalam sesebuah pilihan raya tidak boleh dipandang remeh kerana pemerhati perlu menilai integriti keseluruhan proses pilihan raya dan laporan mereka menentukan kesahihan keputusan pilihan raya.

"Bolehkah ahli politik yang mempunyai kaitan dengan sesebuah parti politik menjadi pemerhati yang tidak berpihak?" soal Bersih.

Semalam, Lajim dilihat berada di pusat pencalonan memakai baju-T SPR dengan tanda nama yang menunjukkan dirinya sebagai pemerhati pilihan raya.

Bersih berkata sekiranya Lajim atau mana-mana ahli politik dilantik menjadi pemerhati pilihan raya, SPR perlu memberi penjelasan sebab pelantikan itu.

"Bersih memuji keterbukaan SPR sejak PRU ke-14 dalam melantik kumpulan dan NGO tempatan, termasuk Bersih 2.0 sebagai sebahagian dari program pemerhati mereka namun mereka tidak boleh merosakkan integriti program itu dan memandang remeh keneutralan SPR dengan melantik ahli politik sebagai pemerhati pilihan raya," katanya.

Untuk rekod, selalunya, badan pengurus pilihan raya akan menjemput pemerhati dalam dan luar negara untuk mengkritik proses pilihan raya dan memberi cadangan untuk mencapai piawai antarabangsa.