Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerajaan perlu telus kongsi maklumat urus aset TH'

Kerajaan disaran bersikap telus dengan mendedahkan kepada umum perkembangan Syarikat Tujuan Khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan yang akan menguruskan aset Lembaga Tabung Haji (TH).

Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Noor Azlan Ghazali, berkata ia penting bagi memberi keyakinan kepada semua pihak berkepentingan.

"Kalau hendak redakan kerisauan, saya cadangkan kerajaan tingkatkan proses pengurusan maklumat.

"Dalam hal SPV ini kerajaan perlu telus dan dicadangkan untuk berkongsi maklumat perkembangan aset-aset TH yang tidak berdaya saing yang dipindahkan kepada SPV.

"Saya cadangkankan setiap enam bulan, perkembangannya dilaporkan.

"Begitu juga, apabila aset-aset berkenaan sudah berjaya dipulihkan, mempunyai nilai, kerajaan diminta untuk menjualnya kembali kepada TH. Jika TH tak mahu baru buka kepada umum," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini, baru-baru ini.

Bank Negara Malaysia telah mengawal selia TH bermula Januari tahun ini sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Dis 2017.

Kesemua aset yang dikenal pasti dipindahkan kepada SPV itu merangkumi 80 peratus dalam bentuk ekuiti dengan susut nilai melebihi 20 peratus manakala baki dalam bentuk hartanah dengan hasil di bawah dua peratus.

Sementara itu, Dewan Rakyat pada 26 Mac lalu dimaklumkan aset bernilai RM19.9 bilion yang dipindahkan daripada Lembaga TH kepada SPV tidak dicairkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata,SPV berperanan untuk menjalankan proses rehabilitasi kesemua aset tersebut melalui strategi pengudangan (warehousing) dan penstrukturan semula.

Sementara itu Noor Azlan, berkata aset-aset strategik milik TH tidak seharusnya terlepas ke tangan pihak lain.

Beliau berkata kerajaan perlu memastikan aset strategik kekal dikuasai meskipun TH tidak berminat untuk menebus kembali aset yang dipindahkan kepada SPV.

Lihat Komen
ADS