Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SANDAKAN | Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memulakan kempen pilihan raya kecil (PRK) Sandakan dengan cuba mengaitkan PBS dengan Umno dan PAS.

Dalam ceramah semalam, Lim berkata Umno Sabah - yang tidak mengundi untuk meluluskan pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan persekutuan - sudah menyatakan sokongan terhadap calon PBS bagi PRK Sandakan.

Justeru, kata Lim, pengundi harus menolak PBS untuk menunjukkan sokongan kepada usaha PH untuk meminda peruntukan undang-undang berkenaan.

"Kita pegang janji dengan mengusulkan pindaan perlembagaan namun gagal. Kenapa kita gagal? Kerana kita tidak ada dua per tiga majoriti," kata Lim.

Pentadbiran PH sebelum ini cuba meminda Artikel 1(2) kepada rujukan asal sebelum pindaan 1976, yang disokong oleh ahli parlimen BN di Sabah dan Sarawak.

Susulan itu, pihak yang tidak bersetuju dengan pindaan 1976 itu berkata usaha untuk mengembalikan Artikel 1(2) kepada rujukan sebelum 1976 merupakan langkah pertama untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Untuk rekod, Ahli Parlimen PBS Maximus Ongkili (Kota Marudu) menyokong pindaan berkenaan, bersama tiga ahli parlimen pembangkang Sabah yang lain. Semua ahli Umno dan PAS tidak mengundi.

Lim menambah bahawa Umno bersedia untuk "menjual" hak rakyat Sabah dan Sarawak serta menggagalkan usaha mengembalikan kedudukan Sabah mengikut perlembagaan.

"Kini lawan kita PBS disokong oleh Umno yang mempunyai 37 ahli parlimen. Jika mereka menyokong kita, pindaan itu akan lulus.

"Sabah akan menjadi salah satu daripada tiga rakan setaraf di Malaysia," kata Lim.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Warisan Liew Vui Keong memberitahu kira-kira 500 hadirin bahawa setiap undi di parlimen penting, maka pengundi Sandakan perlu memastikan jumlah kerusi parlimen dipegang PH kekal.

"Kita perlukan parti pemerintah yang kuat. Semua orang mahu melihat pindaan perlembagaan dan mengembalikan Sabah, Sarawak sebagai rakan setaraf Semenanjung.

"Tapi kita masih kurang 10 undi. Penting untuk kita menambah kerusi untuk mencapai dua per tiga.

"Kita gagal pada 9 April lalu kerana pembangkang berkecuali. Kita harap semua dapat sokong calon DAP bagi PRK Sandakan," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS