Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
114 keluarga terima bantuan program Food Bank di PJ

Sebanyak 114 keluarga di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPRk) Lembah Subang, Petaling Jaya menerima bantuan makanan menerusi program Food Bank.

Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, keluarga berkenaan layak mendapat bantuan terbabit selepas meneliti kira-kira 300 permohonan sejak 6 April lalu.

“Kami menerima banyak permohonan dari penduduk di sini dan kami memilih mereka berdasarkan kriteria yang disediakan,” katanya selepas merasmikan pelancaran Food Bank di Dewan Blok C bangunan PPR Lembah Subang.

Menurut Maria, kriteria yang ditetapkan adalah keluarga berpendapatan kurang RM1500, Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu atau bapa tunggal serta warga emas yang tinggal bersendirian.

Pada September lalu, program itu telah dilaksanakan hasil kerjasama pejabat Parlimen Petaling Jaya dan Yayasan Food Aid di kawasan perumahan yang sama dan memberi manfaat kepada 20 buah keluarga.

Jelas Maria, permohonan kali kedua dibuat atas permintaan penduduk di kawasan PPR Lembah Subang yang tidak berkemampuan.

“Selepas kami membuat tinjauan, kami melihat ramai penduduk ini (PPR Lembah Subang) perlukan bantuan.

“Jadi kami membuat keputusan untuk membuka permohonan secara terbuka dan mendapat respons yang baik dari penduduk,” katanya.

Program Food Bank Malaysia merupakan inisiatif Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saifuddin Nasution Ismail yang dilancarkan pada 22 Disember lalu bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Program ini mensasarkan lebihan makanan kering seperti roti, sayur dan buah-buahan dari beberapa pasar raya besar untuk diagih kepada 186,354 ketua isi rumah (KIR) di bawah paras garis kemiskinan.

Sementara itu, Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar menjelaskan program Food Bank adalah usaha yang perlu diteruskan dengan kerap bagi membantu rakyat miskin di seluruh Selangor.

“Kita tahu di Lembah Subang ini adalah kawasan yang perlu diberi perhatian. 

"Namun begitu, saya akan berbincang dengan YB Maria untuk meneruskan inisiatif ini di seluruh Selangor,” katanya yang turut hadir dalam pelancaran program tersebut.

Lihat Komen
ADS