Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP Sabah kesal calon bersih kubur Islam dianggap gimik
Diterbitkan:  Apr 28, 2019 11:35 PM
Dikemaskini: 3:35 PM

PRK SANDAKAN | DAP Sabah kesal dengan kritikan dilemparkan terhadap Vivian Wong selepas calon pilihan raya kecil (PRK) Sandakan itu menyertai program membersihkan tanah perkuburan Islam di Kampung Sim Sim, pagi ini.

Parti itu berkata Vivian hanya meneruskan usaha dilakukan mendiang bapanya, Stephen Wong yang juga anggota parlimen Sandakan sebelum ini.

"Adalah mengecewakan perkara ini dilihat oleh pembangkang dan sesetengah orang ramai sebagai gimik politik.

"Padahal ini amalan biasa di waktu mendiang Stephen.

"Dengan membersihkan tanah perkuburan, kami meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Stephen untuk memastikan legasinya diteruskan dan kami harap pilihan raya kecil Sandakan ini dapat menjadi contoh perpaduan dan keharmonian, yang ditunjukkan oleh Stephen Wong sepanjang hidupnya," kata setiausaha publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada hantaran Facebook oleh pengguna bernama 'Awang Aslee' yang memuat naik gambar Vivian membersihkan tanah perkuburan Islam.

Hantaran itu yang menjadi tular di WhatsApp digambarkan sebagai "perbuatan" memperbodohkan umat Islam di Sandakan.

"Agak-agaklah bah kalau mahu berkempen tu. Jangan sampai lakonan tu nampak betul macam mahu memperbodohkan umat Islam di Sandakan.

"Sejak bila bah amoi-amoi (wanita) di Sandakan ini turut membersihkan dan berdukacita di kuburan orang Islam seperti dalam gambar ini kalau bukan mahu minta undi,"

Phoong berkata, DAP pada mulanya tidak mahu melayani perkara berkenaan tetapi kemudian berpendapat tuduhan pembangkang sudah keterlaluan.

"Tuhan tahu kami melakukan ini sejak beberapa tahun lalu ketika zaman mendiang Stephen, semenjak 2015.

"Bukan sesuatu yang luar biasa di Sandakan dan Sabah untuk membersihkan tanah perkuburan kita. Ia tidak ada kaitan dengan kaum atau agama. Kami melakukannya dengan niat baik dan hati yang baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS