MB Perak imamkan solat jenazah ibu
Jenazah ibu Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Khairiah, Kampung Kepayang Fair Park di Ipoh, pada kira-kira 11 pagi tadi.
Allahyarham Datin Zaliha Nordin, 79, menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua di sisi ahli keluarga di kediamannya di Kampung Sungai Rokam, pada 7.25 malam semalam. Allahyarham mempunyai lapan orang anak dan Ahmad Faizal merupakan anak ketujuh.
Ahmad Faizal mengimamkan sendiri solat jenazah sementara doa dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh.
Beliau turut mengusung jenazah ibunya sejauh kira-kira 200 meter untuk dikebumikan di sebelah kubur ayahnya, Allahyarham Datuk Azumu Tak.
Hadir sama Mufti Perak, Harussani Zakaria dan Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad manakala bacaan talkin dibacakan oleh Abdul Farid.
Terdahulu hari ini, kelihatan beberapa exco kerajaan negeri, pimpinan parti serta barisan kepimpinan negeri hadir menziarahi jenazah di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir di Ipoh.

