Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan peningkatan nilai eksport buah-buahan segar tempatan antara lima hingga 10 peratus pada tahun ini.
Pengarah Bahagian Eksport FAMA Ser Tian Sin berkata nilai eksport itu dijangka mencecah RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion tahun ini berbanding lebih RM1.3 bilion pada 2018.
"Kita jangkakan peningkatan lebih tinggi, tetapi tertakluk kepada keadaan cuaca kerana faktor cuaca mempengaruhi pengeluaran buah-buahan...dan kita pun kena rasional daripada segi sasaran kita nak capai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar prosedur dan tatacara pengeksportan buah dan sayur segar ke pasaran luar negara hari ini.
Seminar bertujuan meningkatkan pengeksportan produk segar itu dihadiri lebih 100 peserta terdiri daripada pengeksport buah-buahan dan sayur-sayuran yang baharu dan sedia ada.
Beliau berkata antara faktor yang mampu meningkatkan jumlah nilai pengeksportan itu ialah pengeluaran durian yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran luar negara.
Katanya, FAMA juga berhasrat mengeksport buah-buahan seperti betik, nangka, nanas dan belimbing ke negara Eropah Timur dan Asia Tengah dalam usaha meningkatkan jumlah nilai pengeksportan produk segar.
- Bernama
