Hina agama: 867 laporan dibuat terhadap pendakwah
Polis setakat ini menerima 867 laporan berhubung klip video yang didakwa mengandungi elemen penghinaan terhadap agama Hindu yang dikaitkan dengan seorang penceramah bebas.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata penceramah itu, yang sebelum ini ditahan di Perlis, telah dibawa ke ibu negara dan disiasat oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi dan pasukan khas dari Bukit Aman.
"Itu jumlah laporan polis pagi tadi dan kemungkinan akan bertambah lagi. Penceramah itu masih dalam tahanan reman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media selepas menghadiri perasmian IPD Brickfields hari ini.
Semalam Penceramah bebas berusia 34 tahun itu ditahan di Arau selepas baru sahaja selesai menghadiri program debat atau diskusi agama, anjuran NGO beliau di sebuah universiti awam di Perlis, dan siasatan terhadapnya akan dibuat polis Bukit Aman.
Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohamad dilaporkan berkata tangkapan itu dibuat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pendakwah itu juga adalah ‘protege’ kepada pendakwah dari India, Dr Zakir Naik.
- Bernama

