Bantuan sara hidup 46 nelayan N Sembilan dibatalkan
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seremban hari ini diberitahu bahawa seramai 95 nelayan telah disiasat bagi pemutihan E-Diesel, E-Petrol dan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) bagi tempoh Januari hingga Februari tahun lepas meliputi dua Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Bakri Sawir berkata dua PNK berkenaan adalah PNK Port Dickson dan Telok Kemang.
“Daripada jumlah itu, 49 orang diluluskan semula untuk penerimaan bantuan manakala baki 46 dibatalkan,” katanya menjawab soalan lisan daripada Datuk Abd Rahman Mohd Redza (BN-Linggi) di Seremban.
Abd Rahman dalam soalannya mahu tahu bilangan nelayan di Negeri Sembilan yang telah digugurkan daripada senarai penerima sumbangan sara hidup nelayan atau dipotong sumbangan.
Mengulas lanjut, Bakri (PH-Klawang) berkata daripada 46 yang dibatalkan daripada senarai penerima sumbangan, empat daripadanya telah meninggal dunia manakala empat lagi tidak mengambil bantuan minyak selama lima hingga tujuh bulan.
“Bakinya adalah disebabkan tidak lagi turun ke laut,” katanya.
Bagi tahun lepas, Bakri berkata seramai 26 orang nelayan telah diturunkan kategori manakala 101 nelayan dilucutkan daripada senarai penerima sumbangan di dua PNK berkenaan.
Beliau berkata kriteria pemutihan ESHN dibuat dengan melakukan semakan ke atas sistem E-Petrol dan E-Diesel serta E-Pengisytiharan (pendaratan ikan) selain pemantauan di setiap pengkalan nelayan.
“LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) negeri telah diarahkan oleh LKIM ibu pejabat untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemutihan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memantau sebarang penyelewengan dan ketirisan yang berlaku,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Abd Rahman yang ingin tahu langkah kerajaan untuk membantu mereka yang dilucutkan daripada senarai penerima sumbangan memandangkan ada antara mereka yang meraih pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan, Bakri berkata ia telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk bantuan seterusnya.
- Bernama

