Paling Popular
Terkini
story images
story images

Naib Presiden Amanah, Senator Husam Musa menyatakan rasa gembira dan berterima kasih kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Ia susulan kenyataan dan pengesahan anggota parlimen Pekan itu bahawa beliau sudah lama mengusahakan 'penyatuan' antara Umno dan PAS.

Menurut Husam, kenyataan itu sekali gus mengesahkan dakwaannya sebelum ini berkenaan kerjasama kedua-dua parti tersebut.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada Najib kerana mengesahkan dakwaan saya, sebelum ini saya dipecat oleh PAS kerana mendakwa PAS ada kerjasama dengan Umno.

"Ketika itu PAS menafikan kerjasama yang wujud sebelum pilihan raya umum lagi, bila Najib mengesahkan, ini adalah langkah ke depan kerana kerjasama seperti ini sepatutnya dilakukan secara terbuka dan mendapat persetujuan ahli kedua-dua parti, bukannya secara tertutup," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Najib yang juga bekas presiden Umno berkata, penyatuan antara Umno dan PAS yang berseteru sebelum ini adalah "usaha senyap-senyap" beliau dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Katanya, usaha itu bermula ketika perbincangan isu Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) dan hal-hal lain yang menyentuh kepentingan Islam ketika beliau masih perdana menteri.

Najib berceramah di pentas PAS di Kedah, 27 April 2019.

Sementara itu Husam menyangkal kenyataan Najib itu sebaliknya mendakwa hubungan kerjasama Umno dan PAS bermula sejak 2009.

"Sebagai bekas ahli parlimen PAS saya berasa gembira dengan pendedahan ini dan bermakna dakwaan saya selama ini adalah benar.

"Pemecatan saya pula satu tindakan politik tidak adil dan menunjukan PAS bersikap berpura-pura hanya kerana nak meyakinkan ahli bahawa kerjasama Umno dan PAS tidak wujud. Padahal ia wujud sejak Najib jadi perdana menteri pada 2009.

"Hubungan Najib dan Hadi bukan bermula sejak isu RUU355, tetapi tahun 2009. Saya minta Najib mengesahkan dakwaan saya ini," ujarnya.

Tambah bekas exco kanan kerajaan Kelantan itu, hasil 'hubungan gelap' Umno dan PAS itu membawa malapetaka dengan tumbangnya kerajaan BN pada PRU14 lalu.

Kata Husam, demi menunjukkan PAS tiada kerjasama dengan Umno maka pada PRU14 pertandingan tiga penjuru berlaku namun PAS mengambil tindakan 'overdose' (berlebihan).

"Pertandingan tiga penjuru itu juga strategi kerjasama, cuma PAS dan Umno tidak bernasib baik kerana strategi itu dilakukan secara 'overdose' daripada sewajarnya iaitu PAS meletakkan calon tiga penjuru di tempat yang menjadikan undi Umno pecah.

"Saya anggarkan lebih 20 kerusi di mana Umno tewas akibat pertandingan tiga penjuru oleh PAS.

"Kerjasama secara tertutup itu memakan diri kedua-dua parti dan sekarang Umno dan PAS mengadakan strategi hubungan secara terbuka menggantikan kerjasama tertutup," katanya.

Husam berkata, penganjaranya susulan strategi berlebihan PAS itu menyaksikan PAS sendiri bertanggungjawab membunuh kerajaan BN.

"Ini sangat penting kerana PAS sebenarnya mematikan kedudukan Umno sebagai kerajaan. Kalau ada pihak kata kehilangan kepimpinan Melayu, ketuanan Melayu, membunuh kerajaan Melayu-Umno, parti yang bertanggungjawab adalah pas kerana strategik overdose tiga penjuru.

"Sekarang PAS mahu menebus balik kesalahan atau dosa itu dengan mengadakan hubungan secara terbuka.

"Tetapi saya nak ingatkan, PAS sebuah parti yang tidak boleh dipercayai. Ketika bersetuju bertanding tiga penjuru dan saya yakin mendapat bantu-bantuan Umno dalam banyak segi pada PRU14 lalu, PAS mengambil kesempatan bertanding lebih daripada sepatutnya.

"Ia menyebabkan strategi Najib rosak dan ini diakui Najib sendiri dalam satu temubual tiga empat bulan lepas. Beliau mengakui strategi tiga penjuru menyebabkan BN kalah," katanya yang juga pengerusi PH Kelantan.

Lihat Komen
ADS