Ada pihak cuba 'sabotaj' Jawi - Wan Ji
Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin mengandaikan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mensabotaj Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Dia berkata demikian selepas salah satu programnya di Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan oleh penganjur kerana kononnya atas arahan oleh seorang pegawai Jawi yang dikenali sebagai ‘Dr Kamarul.’
“Seorang teman yang ada kaitan dengan Jawi telah terbaca dan menghubungi saya dan bertanya. Saya memberitau nama pihak Jawi yang hubungi pihak penganjur adalah ‘Dr Kamarul’.
“Teman saya itu lakukan siasatan, didapati dalam Jawi tidak ada seorang pun pegawai yang bernama 'Dr Kamarul' dan pihak Jawi tak ada sebarang halangan untuk saya berceramah agama dalam Wilayah Persekutuan.
“Jadi, saya jangkakan bahawa kemungkinan Jawi telah disabotaj oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Jelas Wan Ji lagi, sewaktu pentadbiran BN terdahulu dia tidak pernah dihalang oleh Jawi untuk berceramah.
Menurutnya, perkara ini telah disampaikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Abdul Khalid Samad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Mujahid Yusof Rawa.
Menurutnya lagi, pihak penganjur telah menelefonnya untuk memohon maaf atas salah faham tersebut.
Masih dihalang 'berdakwah' di Selangor
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons dari Jawi, Khalid dan Mujahid untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini.
Bagaimanapun, pihak Jawi enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Wan Ji juga berkata dia masih tidak dibenarkan 'berdakwah' di Selangor, di mana dia telah ditangkap sebanyak tiga kali kerana didakwa mengajar agama tanpa tauliah di negeri itu sebelum ini.
Jelasnya, ceramahnya pada tahun 2015 itu katanya berkenaan menyeru orang Islam menjaga solat dan menjaga adab-adab dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab Islam.
“Saya dianggap berdakwah tanpa tauliah, tanpa keizinan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Di Selangor, sampai sekarang saya tidak dibenarkan berdakwah. Malah saya pernah ditangkap sekali lagi semasa berdakwah di Shah Alam dan sekarang dalam proses mahkamah untuk kali ketiga,” katanya kepada Malaysiakini melalui Whatsapp.

