Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pahang hari ini membuat laporan polis mengenai pihak tertentu yang menyebarkan maklumat palsu mengenai satu program yang kononnya akan dihadiri oleh empat kerabat diraja.
Timbalan Pengerusi Pemuda PH Pahang Mohd Mustaqim Abdul Jalil melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah tanpa kebenaran.
Beliau berkata tindakan sebegitu jelas tidak menghormati kedudukan Tengku Hassanal selain mencemarkan institusi diraja.
"Penglibatan individu yang diketahui umum aktif dengan sebuah parti politik dalam menyebarkan poster program tersebut juga tidak wajar kerana mencampurkan institusi raja dengan politik," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di Kuantan.
Baru-baru ini, poster program ‘Santai Teh Tarik Bersama 4 Putera Mahkota” itu tular di media sosial yang kononnya akan berlangsung di Mahkota Parade, Bandar Hilir di Melaka pada petang ini.
Selain Tengku Hassanal, poster itu turut memaparkan gambar Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta seorang lagi 'Putera Mahkota' yang tidak dinyatakan identitinya.
Sumber Istana Pahang dan Pejabat Raja Muda Selangor dalam kenyataan media semalam, masing-masing menafikan penglibatan Tengku Hassanal dan Tengku Amir Shah dalam program tersebut.
- Bernama
