Kurang dua minggu lagi untuk Malaysia menyambut tarikh bersejarah 9 Mei, yang mana buat pertama kalinya dalam sejarah negara, satu pakatan politik baharu mengambil alih tampuk pemerintahan setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas.

Justeru, satu seminar khas bagi melihat masalah, cabaran dan pencapaian kerajaan baharu ini akan diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur pada Khamis ini, menurut kenyataan oleh Unit Kajian Pilihan Raya UIAM hari ini.

Seminar sehari bertajuk ‘GE14 and the Year Since: Analyses and Perspectives’ itu akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Ariff Md Yusof manakala Penasihat Penyelidikan Kanan Institut Penyelidikan Khazanah Dr Jomo Kwame Sundaram menyampaikan ucaptama.

Selain ahli akademik, anggota panel turut terdiri daripada latar belakang berbeza tetapi peka dengan perkembangan sebelum dan selepas PRU14 antaranya Ketua Unit Kajian Pilihan Raya UIAM Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid dan Ibrahim Suffian daripada Merdeka Centre.

Kedua-dua mereka telah melakukan kajian mengenai hasil PRU14 dan populariti kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dua anggota panel daripada pihak pembangkang turut dijemput iaitu Senator Datuk Seri Ti Lian Ker daripada MCA yang mewakili Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar serta Dr Zuhdi Marzuki daripada Pusat Penyelidikan PAS, yang akan membincangkan sama ada janji dan manifesto yang dibuat semasa PRU14 diambil perhatian.

Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) juga akan berkongsi mengenai masalah ekonomi dan isu-isu yang dihadapi kerajaan PH manakala Steven Gan daripada Malaysiakini akan menjadi antara anggota panel yang akan bercakap mengenai tadbir urus dan reformasi.

Menurut kenyataan itu, seminar berkenaan akan diadakan di Bilik Persidangan, Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Untuk sebarang maklumat lanjut sila hubungi Fathonah Aina Baharuddin di 013-9313927 atau e-mel fathonah.aina@gmail.com atau Hartini 019-5415214/hartiniwakichan@gmail.com.

- Bernama