Polis Kelantan mengarahkan anggotanya dan anggota berpakaian awam melakukan pemantauan di semua rumah ibadat di negeri ini berikutan arahan yang dikeluarkan oleh Bukit Aman.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata setakat ini, keadaan terkawal dan aman seperti biasa dan tiada mana-mana ketua rumah ibadat di negeri ini dipanggil untuk apa-apa perkembangan.

“Di sini (Kota Bharu) hanya satu sahaja kedutaan luar yang ada iaitu Konsul Thai dan ia dalam radar pihak polis, selain pemantauan daripada polis di sini, mereka juga ada membuat kawalan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Kelantan bersama Media Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Pada majlis berkenaan, wartawan sambilan Bernama Biro Kelantan, Adnan Mohamad dan jurugambar sambilan, Shahuri Awang menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Kelantan sempena Sambutan Hari Polis ke-212.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata polis akan terus membuat pemantauan dan berpesan kepada orang ramai supaya tidak memainkan sentimen agama bagi mengelakkan kekacauan.

“Jika mahu melakukan amal ibadat...tidak kiralah sama ada di masjid atau rumah ibadat bukan Islam, buatlah tapi jangan cuba melakukan kekacauan di sini," katanya.

Minggu lalu, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) polis di seluruh negara diarah supaya mempertingkatkan kawalan serta rondaan terhadap semua kedutaan atau pejabat perwakilan asing serta rumah ibadat di negeri masing-masing untuk bersiap siaga terhadap apa jua ancaman.

Tindakan ini adalah antara langkah proaktif Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan serangan keganasan terbaharu di Sri Lanka pada Ahad lalu serta Christchurch, New Zealand pada 15 Mac.

- Bernama