Lambang salib: Ia tidak dilakukan dengan sengaja, kata exco
Kerajaan negeri Pulau Pinang hanya menyedari kejadian lampu berbentuk salib di bangunan Grace Residence, Jelutong selepas isu itu menjadi tular di media sosial, kata exco kerajaan negeri Jagdeep Singh Deo.
Susulan itu, katanya kerajaan negeri telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mendapatkan maklum balas daripada arkitek perunding projek itu.
"Berdasarkan maklumat yang kami terima daripada arkitek perunding, lampu yang berbentuk seperti salib itu tidak dilakukan dengan sengaja.
“Ia hanya satu kebetulan," kata Jagdeep, yang bertanggungjawap terhadap jawatankuasa perumahan, kerajaan tempatan, perancangan bandar dan desa.
Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan lisan Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.
“Kerajaan negeri menyedari tentang perkara ini selepas berita mengenainya tersebar luas di media sosial dan telah meminta MBPP mendapatkan maklum balas mengenainya.
“Kita juga telah mengarahkan MBPP mengadakan perbincangan dengan pihak arkitek perunding dan mengemukakan cadangan penyelesaian secara menyeluruh.
“Ia membabitkan sensitiviti agama dan pihak perunding kini dalam proses mengemukakan cadangan berkenaan kepada pihak MBPP,” katanya.
Mohd Yusnisebelum itu mengajukan soalan sama ada kerajaan negeri menyedari kejadian lampu berbentuk salib yang sangat besar dan terang di projek berkenaan sehingga menggugat sensitiviti umat Islam.
Beliau turut mengajukan soalan punca lampu berbentuk salib itu dibina, selain tindakan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah berkenaan.





