Kerajaan akan membuat pengumuman harga siling ayam sempena musim perayaan Aidilfitri dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya ia adalah langkah awal untuk mengatasi kenaikan mendadak harga ayam yang merupakan barangan kawalan pada musim perayaan, oleh peniaga.

“Kementerian sangat maklum perkara yang disebut oleh Senator dari Johor Bahru tadi tentang trend kenaikan (harga ayam) dan langkah segera untuk ‘caps’ siling harga itu akan dibuat pengumuman dalam sedikit masa lagi,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ir Md Nasir Hashim yang ingin tahu tindakan kementerian untuk mengawal kenaikan harga ayam sempena puasa dan Hari Raya nanti yang menurutnya telah menunjukkan peningkatan kini, menjelang bulan Ramadan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata pihaknya juga akan terus mengadakan pertemuan antara lain dengan pihak penternak ayam dan peniaga dalam usaha memahami faktor harga ternakan berkenaan dalam memberikan harga seimbang kepada golongan penternak dan pengguna.

Dalam perkembangan sama, Senator Datuk Isa Ab Hamid ketika bertanyakan soalan tambahan, membangkitkan mengenai harga ayam di luar bandar yang menurutnya ada yang mencecah sehingga RM50 seekor.

Mengulas mengenai perkara ini, Saifuddin Nasution berkata ia berkemungkinan kes terpencil dan berlaku di pos-pos penempatan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan namun, beliau akan meminta penguat kuasa untuk memantau.

“Bagi masa untuk kami tengok dari mana ayam itu dapat. Siapa pembekal dan peruncitnya. Itu akan lebih adil untuk kita buat kesimpulan. Namun jaminan saya bagi tadi, kalau masa musim perayaan amalan peniaga yang menjual lebih pada harga siling dia akan menerima notis,” katanya.

- Bernama