mk-logo
Berita
Kjaan berhasrat pinda Akta 355 - Fuziah

Kerajaan berhasrat meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sebagai langkah dan satu komitmen negara dalam memperkasa Mahkamah Syariah secara komprehensif, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata dalam hal ini, antara penambahbaikan yang dilihat adalah dari segi menaikkan kadar hukuman.

Katanya, kerajaan akur bahawa bidang kuasa mahkamah berkenaan adalah terbatas dengan peruntukan di bawah Akta 355 dan had hukuman diperuntukkan adakalanya tidak setimpal dengan kesalahan.

“Bagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan secara berasingan kerana aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah terutama dalam bidang jenayah bukan sahaja tertumpu terhadap isu bidang kuasa atau had hukuman di bawah Akta 355 semata-mata akan tetapi ia meliputi pelbagai aspek yang sama penting seperti peningkatan tahap kompetensi hakim, Pendakwa Syarie dan pegawai penguatkuasa agama.

“Kita juga melihat penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada serta penyeragaman dan penyelarasan undang undang jenayah, yang sekarang ini belum ada lagi pelarasan di negeri-negeri.

“Kita lihat, Akta kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Perseketuan) 1997 atau Akta 559 serta enakmen kesalahan jenayah syariah di negeri-negeri menggunakan had hukuman ini,” katanya pada sesi Soal Jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Muhamad Mustafa yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat meminda akta berkenaan yang sebelum ini dibawa sebagai Rang Undang-undang Persendirian.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini