Bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Nasional (Keadilan) bagi kawasan Kota Bharu, Ramli Ibrahim dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dari tuduhan membuat tuntutan pembatuan palsu sebanyak RM792.

Hakim Rosenani Abd Rahman berkata, pihak pendakwa gagal mengemukakan kes prima facie terhadap Ramli yang telah didakwa di bawah seksyen 11C Akta Anti-Rasuah pada 8 April 2002.

Ramli dituduh membuat tuntutan pembatuan plasu dari Jabatan Kewangan Parliamen untuk perjalanan pergi balik antara Kota Baru (KB) dan Kuala Lumpur pada 2002 berjumlah RM792.

Hakim itu di dalam keputusan lisannya berkata, pegawai pendakwa Badan Pencegah Rasuah (BPR) gagal menyiasat samaada Ramli pergi ke KB atau menyiasat keluarganya di KB berhubung kes ini.

Ramli, 62 tahun, yang tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu mengaku tidak bersalah ketika dituduh melakukan kesalahan tersebut. Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun penjara atau denda di bawah undang-undang berkenaan.

Ketika bercakap kepada para wartawan selepas menerima keputusan itu, Ramli berkata, beliau bersyukur kerana kebenaran telah terserlah.

Bekas ahli politik itu diwakili oleh peguam terkemuka, Christopher Fernando.

Timbalan Pendakwaraya, Idham Abdul Ghani yang ditemui malaysiakini selepas itu berkata, pihaknya akan menemui Peguam Negara, Datuk Abdul Gani Patail untuk mendapatkan arahan selanjutnya samaada untuk membuat rayuan atau tidak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor dan anggota Majlis Tertingginya, Animah Ferrer turut hadir di mahkamah.

Isu tuntutan palsu ini muncul apabila sidang Parlimen pada September 2003 mendedahkan terdapat 14 anggota Parlimen yang membuat tuntutan melebihi RM10,000 sebulan.

Tujuh dari wakil rakyat berkenaan ialah ahli Parlimen Barisan Nasional, empat dari PAS, dua dari Keadilan dan seorang dari DAP.

Pendedahan itu telah dibantah oleh para penyokong kerajaan dan pembangkang kerana dilihat mahu mempersoalkan hak mereka untuk membuat tuntutan berkenaan. Pihak berkuasa kemudiannya menyiasat tuntutan-tuntutan besar itu.

Bagaimanapun sehingga hari ini hanya dua orang ahli Parlimen diheret ke mahkamah. Selain Ramli, bekas ahli Parlimen PAS kawasan Jeli, Apandi Mohamad turut didakwa membabitkan jumlah tuntutan melebihi RM200,000.

Sebanyak 13 dakwaan dikemukan ke atas Apandi, 45 tahun, yang turut didakwa di bawah undang-undang yang sama. Beliau juga mengaku tidak bersalah.

Apandi juga diwakili oleh Fernando dan perbicaraan kesnya sedang berlangsung.