Calon bebas: Saya akan gadai nyawa untuk hak rakyat
PRK SANDAKAN | Hamzah Abdullah, yang bertanding pada pilihan raya kecil Sandakan sebagai calon bebas berkata beliau boleh kekal berada dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi memilih untuk bertanding sebagai calon bebas.
"Kuasa berada pada rakyat pada 11 Mei. Jika kamu pilih saya, Insya Allah saya akan akan gadai nyawa untuk mempertahankan hak rakyat.
"Saya tidak peduli sama ada kamu orang Cina, Melayu, India atau Kadazandusun, selagi kamu adalah orang Sabah, saya akan berjuang untuk kamu.
"Saya tidak akan menyertai mana-mana parti dan akan terus berdikari.
"Saya akan bertanding kerana saya tahu masalah rakyat, setiap hari, mereka datang kepada saya mengadu tentang kesukaran mereka. Jika mahukan kepentingan peribadi, saya boleh kekal dalam Pakatan Harapan untuk masa yang lama.
"(Presiden Amanah) Mohamad Sabu boleh hubungi saya dan saya boleh minta projek 'bah'. Saya kenal dia selama 30 tahun," katanya dalam sidang akhbar, seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times hari ini.
Bekas pengerusi Amanah Sabah itu memberitahu Malaysiakini bahawa laporan awal portal itu yang menyatakan beliau boleh menghubungi Mohamad Sabu untuk memberikannya projek dilaporkan di luar konteks.
Hamzah berkata, apa yang beliau maksudkan ialah beliau boleh kekal dalam PH tetapi memilih untuk menjadi calon bebas bagi memperjuangkan nasib penduduk Sandakan.
Beliau juga mengancam untuk membuat laporan polis terhadap Malaysiakini kerana "niat jahat" dan mengambil tindakan undang-undang.
Hamzah menegaskan kepada Malaysiakini bahawa beliau tidak pernah menyebut untuk mendapatkan projek daripada Mohamad Sabu.

