BERITA Malaysiakini

‘Kegiatan haram dikesan di 108 buah lot tanah di Pulau Pinang’

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerja-kerja pembangunan tanah tanpa kebenaran telah dikenal pasti dijalankan di 108 buah lot tanah di Pulau Pinang, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo hari ini.

Katanya berkata berdasarkan pemantauan yang dijalankan, kerja-kerja tanpa kebenaran itu dijalankan di 44 buah lot tanah di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 64 lot di bawah Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

"Setakat 31 Mac lepas, di bahagian pulau MBPP mengenal pasti sebanyak 11 lot di daerah Timur Laut dan 33 lot di daerah Barat Daya, manakala di Seberang Perai (di bawah MPSP), 27 lot daripadanya adalah di Seberang Perai Utara, 33 di Seberang Perai Tengah dan empat di Seberang Perai Selatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) di sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri, di George Town.

Lee bertanya mengenai kerja tanah yang dijalankan tanpa kebenaran di Pulau Pinang, tindakan dan usaha yang diambil kerajaan negeri untuk mengatasi masalah itu.

Mengulas mengenai tindakan yang diambil terhadap isu berkenaan, Jagdeep yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat berkata, kerajaan negeri telah meningkatkan tenaga kerja yang terlibat dengan pemantauan kerja tanah tanpa kelulusan khususnya kawasan bukit.

Katanya kerajaan negeri juga mempertingkatkan masa pemantauan setiap hari, dan menyelaraskan tindakan penguatkuasaan bersepadu dengan semua agensi yang berkaitan antaranya Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Ukur dan Pemetaan.

"Kita juga mempertingkatkan pemantauan dengan menggunakan 'drone' di kawasan yang sukar dipantau dari aras jalan selain menggunakan kamera litar tertutup. Kerajaan negeri juga mengeluarkan notis memberhentikan kerja tanah dan memulihkan tanah kepada keadaan asal," katanya.

Selain itu, kerajaan negeri turut menjalankan operasi merampas jentera dan mengambil tindakan mahkamah dengan denda maksimum RM500,000.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata MBPP kini dalam peringkat akhir proses penggubalan Undang-undang Kecil (kerja Tanah) 2018, dengan mengambil kira isu-isu semasa dan kepentingan awam bagi memastikan ia merangkumi aspek mengenakan denda dan kompaun bagi kesalahan menjalankan kerja tanah tanpa kelulusan.

"Bagi MPSP pula, undang-undang sedia ada iaitu Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) sudah memadai sebagai langkah atau tindakan tegas yang boleh diambil ke atas tuan tanah yang ingkar.

"Bagaimanapun, untuk lebih efektif, kerajaan negeri akan mencadangkan kepada kerajaan Pusat untuk menggubal undang-undang bagi hukuman penalti yang lebih berat kepada mereka yang melakukan kesalahan tersebut," katanya.

- Bernama