Sah... TV2 siarkan karikatur mempersenda Nabi Muhammad
Malaysiakini telah memperolehi salinan klip video berita Mandarin jam 8 malam di TV2 RTM yang menyiarkan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW pada 3 Februari lalu.
Malaysiakini telah memperolehi salinan klip video berita Mandarin jam 8 malam di TV2 RTM yang menyiarkan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW pada 3 Februari lalu.
Klip-video selama tiga itu menunjukkan seorang pembaca memegang naskah akhbar berbahasa Sepanyol yang menyiarkan dua karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW. Apabila gambar tersebut difokus secara dekat selama lima saat, imejnya terpapar jelas.
Salah satu karikatur itu menunjukkan imej yang didakwa "Nabi Muhammad" bercakap dengan Tuhan dan yang satu lagi menunjukkan baginda diapit oleh dua orang wanita yang memakai hijab muka.
Imej karikatur itu disiarkan dalam segmen luar negara buletin berita itu yang melaporkan Norway dan Perancis sedang mengambil langkah diplomatik untuk meredakan kemarahan dunia Islam setelah akhbar-akhbar di kedua-dua negara itu mengulang siar karikatur berkenaan.
Karikatur itu pertama kali disiarkan oleh akhbar Denmark, Jyllands-Posten pada September tahun lalu.
Difahamkan video yang sama telah terlebih dahulu disiarkan sebelumnya dalam Warta Pagi di TV1 RTM. Ia digunakan semula bagi berita Mandarin jam 8 malam itu di TV2 RTM.
Semalam malaysiakini melaporkan RTM yang dikawalselia oleh Menteri Penerangan mungkin menjadi sebuah lagi organisasi media yang akan terjebak dalam kemelut isu kontroversi ini.
Akhbar New Straits Times yang telah dikenakan surat tunjuk sebab kerana menyiarkan komik yang mempersendakan Nabi Muhammad dilaporkan telah menyerahkan klip video berita Mandarin TV2 itu kepada Kementerian Dalam Negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dakwaan terhadapTV2 akan disiasat.
Sebelum ini kerajaan telah mengenakan tindakan menggantung dua akhbar - Sarawak Tribune dan Guangming Daily kerana menyiarkan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad itu.
Akhbar Sarawak Tribune digantung untuk tempoh yang tidak ditetapkan manakala Guangming Daily pula digantung selama dua minggu.
Bagaimanapun tiada tindakan dikenakan ke atas New Straits Times kerana kartun yang disiarkan itu bukannya salah satu daripada 12 karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad yang disiarkan oleh akhbar Denmark tahun lalu.

