Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
EPU tolak permohonan 1MDB dapatkan geran RM3 bilion

KES NAJIB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu 1MDB menghantar surat tiga halaman kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mendapatkan geran RM3 bilion bagi anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Saksi Kamariah Noruddin, yang sebelum ini merupakan timbalan ketua pengarah EPU, menyifatkan permohonan pada 7 Ogos 2010 itu sebagai "luar daripada kebiasaan".

"(Saya dapati) Permohonan itu sukar untuk diproses seperti biasa. Ia adalah permohonan oleh 1MDB kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri (Najib Razak), yang kemudiannya dikemukakan (kepada EPU).

"Surat 1MDB itu ditandatangani oleh Shahrol Azral Ibrahim Halmi, ketua pegawai eksekutif (1MDB), (dan ditujukan kepada) Najib," kata saksi itu, semasa pemeriksaan oleh DPP Mohd ashrof Adrin Kamarul.

Beliau memberi keterangan bahawa ketuanya, Noriah Ahmad telah menerima arahan daripada Nor Mohamed Yakcop, menteri yang bertanggungjawab ke atas EPU pada masa itu, untuk mengendalikan permohonan tersebut.

Jumlah tersebut kata Kamariah merupakan 7 peratus daripada peruntukan pembangunan kerajaan untuk tahun itu.

"Di EPU, kami ketika itu tidak boeh memberikan dana (RM3 bilion) kerana permohonannya (dimuatkan) dalam kertas cadangan setebal tiga halaman saja.

"Peruntukan untuk pembangunan seluruh negara setahun ialah sebanyak RM42 bilion.

"(Kalau) ambil RM3 bilion daripadanya, ia merupakan 7 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan negara.

"Kalau permohonan RM3 bilion itu diluluskan untuk diberi kepada sebuah syarikat yang belum ditubuhkan, ia akan menjadi satu kecuaian di pihak EPU," katanya.

SRC International secara rasmi ditubuhkan sebagai anak syarikat 1MDB pada 7 Januari 2011.

Kamariah, yang bertanggungjawab dalam bahagian tenaga EPU pada masa itu, berkata SRC merancang terlibat dalam pengeluaran, logistik, dan perdagangan dalam sumber utama seperti minyak dan gas, arang batu dan besi.

Bagaimanapun, ini menibulkan konflik dengan agensi kerajaan lain seperti Petronas yang sudah pun berada dalam perniagaan minyak dan gas manakala EPU percaya bahawa perniagaan besi dan aluminium harus diserahkan kepada sektor swasta, katanya.

Berikutan itu permohonan untuk geran RM3 bilion tersebut telah ditolak dan sebaliknya EPU hanya meluluskan peruntukan RM20 juta untuk SRC.

Lihat Komen
ADS