Jalan Raja di KL tutup laluan sehala sepanjang Ramadan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup sebahagian Jalan Raja dan dijadikan laluan sehala untuk semua jenis kenderaan, mengikut jadual sepanjang bulan Ramadan ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata penutupan itu membolehkan kenderaan menggunakan laluan sehala, dari Jalan Sultan Hishamuddin hingga ke simpang Jalan Tun Perak hingga ke simpang Lebuh Pasar Besar dari 12.01 tengah malam hingga 1 petang.
"Manakala laluan sebaliknya akan dibuka dari pukul 1.01 petang hingga 12 tengah malam, dan penutupan itu adalah bersempena dengan Bazar Ramadan yang akan beroperasi di Jalan Raja dari 6 Mei hingga 5 Jun," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak Bazar Ramadan di Jalan Raja, hari ini.
Tapak Bazar Ramadan di Jalan Raja yang melibatkan 344 petak gerai akan bermula dari persimpangan lampu isyarat Leboh Pasar Besar hingga ke Jalan Tun Perak.
"Kerja-kerja pemasangan logistik seperti kemah, pendawaian elektrik, lampu hiasan, hiasan lanskap, tandas bergerak dan sebagainya telah bermula sejak semalam.
"Hanya lima kategori jualan yang dibenarkan di lokasi Bazar Ramadan Jalan Raja iaitu pakaian, barangan atau peralatan kering, makanan kering berbungkus, perhiasan dan aksesori diri, serta aksesori rumah," katanya.
Kos keseluruhan untuk pelaksanaan Bazar Ramadan di Jalan Raja adalah sebanyak RM2.5 juta.
Nor Hisham berkata seramai 14 pegawai penguatkuasa trafik akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas di sekitar Bazar Ramadan untuk kelancaran trafik dan pejalan kaki.
"Kami turut akan menyediakan papan tanda khas untuk pejalan kaki manakala bas pelancong hanya dibenarkan menurunkan penumpang mereka di hadapan Galeri Kuala Lumpur, dan tidak boleh meletak kenderaan di kawasan itu.
"Bas-bas pelancong hanya dibenarkan meletak kenderaan mereka di kawasan Padang Merbok sahaja," katanya.
Sementara itu, Nor Hisham berkata pihaknya akan melanjutkan tempoh percubaan sehingga tiga bulan untuk penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kepada kenderaan persendirian pada setiap hari Sabtu dan Ahad serta cuti Am.
"Dalam tempoh percubaan pada April lalu, kami telah melaksanakannya melalui kaedah pemberitahuan dan pendidikan, kini tindakan penguatkuasaan akan dimulakan ke atas kenderaan persendirian yang gagal mematuhi arahan laluan terhad ini terutamanya yang menunggu di tepi jalan," katanya.
- Bernama

