PRK SANDAKAN | Polis sedang dalam proses menyiapkan dan menyegerakan siasatan, berhubung isu menurunkan sebuah banner milik Parti Bersatu Sabah (PBS) di Batu 3 di Sandakan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata polis menerima laporan pada 1 Mei lepas berkaitan banner itu, dan setelah siasatan dijalankan, polis menasihatkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menurunkan banner itu kerana menjadi barang kes.

Beliau berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan bagi menyiasat kandungan laporan itu kerana terdapat intipati kesalahan di bawah seksyen itu.

"Pihak polis tidak ada mengarahkan mana-mana pihak untuk menurunkan banner tersebut, tetapi ada menasihatkan pihak SPR menurunkannya.

"Banner tersebut adalah eksibit yang perlu dirampas, dan didaftarkan sebagai barang kes, sehinggalah siasatan selesai. Kuasa menurunkan banner sepanjang kempen pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa pihak SPR," katanya dalam kenyataan, di Sandakan hari ini.

Mohd Azhar berkata dalam aduan itu, parti DAP tidak berpuashati dengan isi kandungan serta imej yang di paparkan dalam banner itu yang mengaitkan DAP dan pihak Astro sedangkan ia milik PBS.

Dalam pada itu, Mohd Azhar menasihatkan semua pihak dan parti yang bertanding agar berkempen secara sihat dan matang, tanpa mempolitikkan pihak SPR yang sehingga kini telah menjalankan tugas serta tanggungjawab secara profesional dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

- Bernama