PAS: Istana berhak beri pandangan, rakyat tak semesti terima
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berpendapat tidak salah sekiranya Institusi raja menegur kerajaan dan pada masa yang sama rakyat pula tidak semestinya menerima pandangan istana itu.
Hadi dipetik Harakahdaily berkata hal ini memandangkan konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini tidak sama seperti di United Kingdom.
“Raja Berperlembagaan ini, dia tak boleh pegang (ikut) kepada British. Raja Berperlembagaan ini ‘dikurung’ dalam begitu, dia boleh beri pandangan-pandangan dia dan rakyat tak semestinya terima pandangan dia,” katanya.
Jelas MP Marang, politik melibatkan semua pihak, termasuk Raja Berperlembagaan dan bukan setakat parti politik sahaja
"Istana juga berkait dengan kerajaan, berkait dengan rakyat. Mereka berhak memberikan pandangan mereka.
“Pada saya, tidak menjadi salah jika istana nak beri pandangan dia. Sebabnya, sesi pemerintahan kita ini merangkumi Istana, merangkumi kalangan politik.
“Politik itu melibatkan semua. Politik ini luas, bukan parti politik sahaja termasuklah Raja Berperlembagaan,” katanya.
Hadi difahamkan membuat kenyataan ini susulan isu perbalahan Perdana Menteri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan pihak istana, khususnya Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Kontroversi antara Mahathir dan istana tercetus antaranya apabila perdana menteri mendakwa perlembagaan negeri Johor dan Terengganu "terbatal" dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.
Tunku Ismail pula bertitah kepada peminat kelab bola sepak JDT: "Daripada tukar (jurulatih Benjamin) Mora, baik tukar perdana menteri," susulan kekalahan pasukan itu kepada Shandong Luneng dalam perlawanan Kejuaraan Liga AFC baru-baru ini.
Terdahulu, TMJ juga lantang mengkritik langkah kerajaan memeterai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang menyebabkan perdana menteri menarik balik komitmen Malaysia terhadap perjanjian tersebut.

