Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP akan pastikan IPCMC berkhidmat untuk polis, orang ramai

Ketua Polis Negara yang baru Abdul Hamid Bador berkata akan memastikan PDRM dan orang ramai mendapat hasil yang terbaik dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Saya menyokong hasrat kerajaan untuk meningkat imej, kebajikan dan keberkesanan PDRM.

"Sebagai IGP saya ambil tanggungjawab untuk pastikan PDRM akan dapat hasil yang terbaik dari semua sudut sementara orang ramai pula akan rasa terbela dan pasti mendapat khidmat terbaik dari penubuhan IPCMC," katanya dalam suatu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Menurut Abdul Hamid, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin telah bersetuju supaya pasukan polis diberi peluang mendapatkan penjelasan dan keputusan yang terbaik.

Katanya, menteri juga telah mengatur suatu pertemuan antara PDRM, persatuan-persatuan polis dengan dengan Pusat Governans Integriti dan Antirasuah Nasional (GICC) pada 10 Mei depan.

Bantahan persatuan polis

"Saya sudah dapatkan persetujuan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin untuk PDRM diberi peluang mendapatkan penjelasan dan keputusan terbaik.

"Tindakan menteri dalam negeri mengaturkan pertemuan PDRM dan persatuan-persatuan polis dengan GICC pada 10 Mei depan adalah sesuatu yang terbaik ke arah merungkai isu-isu yang menjadi kebimbangan PDRM dan persatuan," katanya lagi.

Bagaimanapun, bekas pengarah Cawangan Khas itu mengakui belum berkesempatan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

"Selaku IGP, tak sampai 48 jam, saya belum berkesempatan mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan.

"Khidmat nasihat dan pandangan pandangan bernas bekas orang-orang besar PDRM pasti akan saya dapatkan sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Saya sentiasa akan membela kebajikan warga PDRM di samping kepentingan orang ramai dan tidak akan sekali-kali mengkhianati amanat jawatan ini," jelas beliau lagi.

Hari ini, Bernama melaporkan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) dan lapan persatuan pesara polis dalam negara tegas menolak penubuhan IPCMC.

Bekas ketua polis negara Mohamad Fuzi Harun pada 2 Mei lalu berkata antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

Menteri dalam negeri pada 3 Mei lalu pula berkata kerajaan komited menubuhkan suruhanjaya itu namun penglibatan lanjut perlu dilakukan bersama pihak polis kerana terdapat kebimbangan ia menjadi satu bentuk hukuman.

“Masih ada perkara-perkara yang tak begitu jelas umpama mereka andaikan dengan adanya IPCMC macam polis jadi sasaran bahawa polis lakukan banyak kesalahan.

“Tubuh badan seperti ini seolah-seolah untuk hukum mereka, ini tak betul,” kata Muhyiddin.

Di bawah janji ke-20 manifesto PRU14, PH berjanji akan melaksanakan penubuhan IPCMC dalam tempoh penggal pertama pentadbirannya.

Lihat Komen
ADS