Sejumlah RM3.43 juta peruntukan diberikan kepada 10 sekolah bagi pembinaan prasarana masing-masing di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata bantuan yang diberikan menerusi peruntukan projek khas itu bakal memberi kemudahan lebih selesa dan memenuhi keperluan pelajar serta guru.

Menterinya Azmin Ali menyampaikan kelulusan pembinaan prasarana tersebut bersama sumbangan kemasyarakatan.

“Kelulusan projek-projek ini adalah berdasarkan permohonan sumbangan daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang terlibat.

“Antaranya pembinaan dewan terbuka dan pagar sekolah, menaik taraf dan membaik pulih surau, bangunan serta kemudahan asas sekolah,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, semakan dan penilaian di tapak dijalankan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sebelum laporan dikemukakan kepada pihak kementerian.

Projek itu kemudian diluluskan memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk dilaksanakan di sekolah terbabit.

Antara sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak dan SMK Hulu Kelang di Selangor serta SMK Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur.

- Bernama