Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan Sabah mula tangani isu anak tanpa kerakyatan

PRK SANDAKAN | Pada dekad 1970-an, Sabah menjadi destinasi pelarian Filipina ekoran konflik pasukan bersenjata Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di selatan negara itu.

Beberapa dekad berlalu dan keturunan mereka kini menjadi penduduk tanpa kerakyatan, pada masa sama tiada hubungan dengan negara asal mereka.

Jumlah mereka banyak di Pulau Berhala dan Kampung Sim Sim di Sandakan, yang menjadi bukti kepada masalah tersebut.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata, kerajaan negeri yang baru sudah mula mengambil langkah menangani isu itu dengan mengiktiraf kanak-kanak tanpa kerakyatan ini jika salah seorang daripada ibu bapa mereka berasal dari negeri itu.

Ditanya berkenaan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang juga memiliki ibu bapa yang tiada dokumen, Liew berkata kerajaan hanya boleh menyelesaikan satu isu pada satu masa.

"Biar kami (kerajaan) selesaikan isu (kanak-kanak tanpa kerakyatan dengan seorang ibu atau bapa berasal dari Sabah) ini dulu kerana sesetengahnya sudah dewasa.

Pulau Berhala

“Sudah sampai masa untuk mereka ke sekolah tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana status yang tidak jelas.

"Apabila kerajaan sudah menyelesaikan perkara itu (kanak-kanak tanpa kerakyatan dengan seorang ibu atau bapa berasal dari Sabah), maka yang lain juga dapat diselesaikan," katanya lagi.

Liew berkata demikian semasa mengiringi Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan dalam kempen PRK Sandakan, hari ini.

Sementara itu, Wan Azizah berkata kerajaan persekutuan mesti mencari jalan untuk mengintegrasi kanak-kanak tanpa kerakyatan ini.

Katanya, mereka tiada tempat lain kecuali Sabah, maka lebih baik menjadikan mereka sebagai anggota masyarakat yang produktif.

"Kita perlu menjaga masa depan mereka. Mereka akan tetap di sini. Mereka perlukan pendidikan dan mata pencarian.

"Mereka perlukan latihan dan kemahiran asas agar dapat menjadi lebih produktif dalam masyarakat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kerajaan tidak akan menutup sebelah mata berkenaan masalah itu.

Bermula tahun ini, kerajaan persekutuan membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan untuk mendaftar di sekolah kerajaan.

Kerajaan Sabah pula mula mendaftarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan tersebut.

Lihat Komen
ADS