Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek Cinta bawa ilmu baru buat anak-anak Chow Kit

Anak-anak Buku Jalanan Chow Kit kini berpeluang mengikuti pendidikan seperti diberikan ibu bapa berkemampuan selepas ini, kata pengasas projek tersebut, Siti Rahayu Baharin.

Katanya, melalui Projek Cinta yang memberikan bantuan pendidikan selama setahun anak-anak yang membesar dalam keluarga kurang berkemampuan atau tidak berkelayakan dapat mengikuti pembelajaran yang sepatutnya.

Menurut Siti Rahayu, bantuan untuk Projek Cinta itu disalurkan Rizq Islamic School (RIS) dan boleh diibaratkan seperti terbukanya lembaran baru buat anak-anak terbabit.

“Harapan paling tinggi adalah untuk melihat 'anak-anak' saya ini dapat merasai nikmat pembelajaran seperti orang lain rasa, itu yang saya nak sangat.

“Dan ia termakbul selepas RIS tampil untuk berkongsi secara percuma,” katanya kepada Malaysiakini.

Projek Cinta mengumpulkan sehingga 150 kanak-kanak kurang bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur dengan program pendidikan dikendalikan guru-guru RIS bermula jam 8.30 sehingga 10.30 malam.

Ia bertujuan mendukung perkembangan diri serta memperkasakan kanak-kanak daripada kumpulan tersebut.

Wajar dicontohi orang lain

Projek yang akan dijalankan setiap bulan selama setahun itu dibahagikan kepada lima elemen utama iaitu yang berasaskan pengetahuan, pemikiran kritikal, kemahiran, bakat dan kebajikan.

Ia disusun sebegitu rupa bagi memastikan kanak-kanak terbabit dapat dibangunkan secara holistik.

Kata Siti Rahayu, ketika ini seramai 35 kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun tidak layak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen diperlukan bagi proses pendaftaran persekolahan.

“Mereka lahir di sini tapi disebabkan status kewarganegaraan ibu bapa, mereka tidak boleh didaftarkan di institusi pendidikan rasmi berbanding 30 lagi kanak-kanak yang bersekolah kerajaan,” katanya.

Kata Siti Rahayu lagi, bantuan ditawarkan RIS merupakan satu perkongsian yang baik dan wajar dicontohi semua pihak kerana ia dilihat boleh memperbaiki kekurangan dalam masyarakat.

“Ini satu daripada perkara baik yang diperlukan masyarakat kita.

"Ia ibarat sistem zakat, iaitu berkongsi apa yang ada.

“Dengan cara ini ia mungkin boleh membantu mengisi mana-mana kelompongan dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RizQ Educare, Dr Rizq Muhammad Syazwan Mohd Rosmin, berkata Projek Cinta adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah pertubuhan amal RIS iaitu Rizq Mercy untuk membawa perubahan dalam kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Tidak ramai yang terbuka untuk menjalinkan kerjasama seperti ini.

"Biasanya kita lihat sesebuah sekolah hanya mahu menjalankan program dengan pihak yang setaraf dengannya.

“Kurang kita lihat pihak yang mahu mengadakan inisiatif program dengan sekolah bertaraf lebih rendah, mengakibatkan masalah pendidikan tidak dapat diselesaikan dari segi geopolitik atau ekonomi.

“Itu kebiasaan yang RIS cuba pecahkan kerana kami mahu anak-anak daripada kumpulan kurang bernasib baik berpeluang mendapat akses kepada pendidikan bermutu,” katanya.

Lihat Komen
ADS