RM15.5 juta: AG bekalkan butiran selepas jualan Equanimity
Peguam Negara Tommy Thomas hari ini memberikan pecahan kos yang ditanggung oleh kerajaan selepas merampas dan kemudian menjual kapal layar mewah, Equanimity, yang didakwa diperolehi melalui dana 1MDB yang diselewengkan.
Secara keseluruhan, Thomas berkata kira-kira RM15.5 juta dibelanjakan untuk meahan kapal itu pada 6 Ogos tahun lalu dan menyelenggarakan kapal layar itu selama sembilan bulan sehingga 25 April sebelum diserahkan pemilikannya kepada anak syarikat Genting Malaysia Berhad, yang membeli kapal itu pada harga AS$126 juta.
“Jumlah sebanyak RM15.5 juta ini bukanlah jumlah yang muktamad. Walau bagaimanapun, kami yakin bahawa perbelanjaan-perbelanjaan yang masih belum dibayar jumlahnya adalah jauh lebih kecil.
“Secara relatifnya, jumlah ini, yang bersamaan dengan kira-kira AS$3.75 juta, adalah kecil untuk kesemua perkhidmatan yang telah diberikan oleh semua pihak selama sembilan bulan.
“Sekiranya kapal tersebut ditahan di tempat-tempat lain di dunia ini, kosnya mungkin boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda lebih besar. Selanjutnya, tiada komisen yang perlu dibayar kepada broker kerana jualan ini dirundingkan secara terus,” katanya.
Perbelanjaan-perbelanjaan berkenaan diperincikan seperti berikut:
- Berlabuh di Pelabuhan Klang - RM407,000
- Berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Langkawi - RM0
- Kos operasi (yuran, gaji, insurans, makanan, pembaikan, penyelenggaraan) - RM12.7 juta
- Perkhidmatan penilai dan pentaksir bebas - RM400,000
- Yuran guaman bagi Tetuan Joseph & Partners (selaku peguam cara) - RM1.6 juta
- Ong Chee Kwan (peguam) - RM360,000
- Tetuan Holman Fenwick Willan (peguam asing) - RM40,000
- Sitpah Selvaratnam (peguam utama) - RM0
Mengulas pecahan itu, Thomas berkata RM407,000 dibelanjakan semasa Equanimity berlabuh di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang, antara Ogos hingga November 2018.
Bagaimanapun, beliau berkata Tentera Laut Diraja Malaysia telah bermurah hati membenarkan kapal layar itu untuk berlabuh di pangkalan tenteranya tanpa sebarang caj dari November 2018 sehinggalah kapal diserahkan kepada pembelinya.
Bagi kos operasi berjumlah RM12.7 juta, beliau berkata ini ini termasuk yuran-yuran agensi untuk ejen-ejen tempatan; yuran-yuran pengurusan untuk syarikat pengurusan profesional kapal layar besar; gaji untuk anak-anak kapal profesional; insurans bagi ‘protection and indemnity’ untuk kapal tersebut; insurans bagi ‘hull and machinery’ untuk kapal tersebut; makanan dan bekalan-bekalan lain yang diperlukan oleh Equanimity; bahan ganti, perkakas dan perkhidmatan-perkhidmatan yang diperlukan untuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan Equanimity.
Mengenai RM400,000 pula, beliau berkata ia adalah untuk mendapatkan perkhidmatan penilai dan pentaksir yang bereputasi baik dan terkemuka pada peringkat antarabangsa untuk mentaksir nilai kapal tersebut dan perkakas milik kapal itu.
“Pelantikan tersebut merupakan satu keperluan dalam jualan kehakiman,” kata Thomas.
Bagi yuran guaman, RM1.6 juta dibelanjakan untuk firma Tetuan Joseph & Partners selaku peguam cara yang mewakili kerajaan Malaysia dan kumpulan syarikat 1MDB manakala RM 360,000 pula dibayar untuk khidmat peguam Ong Chee Kwan.
Sebanyak RM40,000 lagi dibelanjakan untuk mendapatkan nasihat guaman asing yang diberikan oleh Tetuan Holman Fenwick Willan berhubung dengan proses untuk menyahdaftarkan dan mendaftarkan semula kapal di beberapa pilihan negara-negara ‘red ensign’.
Nasihat guaman asing ini telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada pakej maklumat yang diedarkan kepada pembeli-pembeli berpotensi semasa tempoh jualan kehakiman., katanya.
Thomas juga berkata, peguam utama, Sitpah Selvaratnam mengendalikan kes ini secara pro-
bono, iaitu tidak ada bayaran yang dikenakan.
“Peguam utama, Pn Sitpah Selvaratnam mengendalikan kes ini secara pro-bono, yang saya sekali lagi menyatakan rasa berterima kasih saya.
“Pn Alice Loke dan Pn Rahayu Mumazaini daripada jabatan ini juga memainkan peranan penting dalam pasukan pakar guaman yang memberi nasihat dalam cabang perundangan yang khusus ini,” katanya.
Thomas berkata terdapat proses saringan dan kelulusan yang berlapis ke atas semua bayaran yang dibuat dalam penyelenggaraan dan pemeliharaan Equanimity semasa dalam tahanan.
Katanya, pasukan guaman dan pasukan perakaunan itu bertindak selaku lapisansaringan yang pertama.
“Selepas perbelanjaan diluluskan, invois-invois akan dikemukakan ke jabatan peguam negara untuk saringan kedua, dan selepas itu oleh Syerif Mahkamah Admiralti.
“Hanya selepas diluluskan di ketiga-tiga peringkat barulah invois-invois ini dikemukakan kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk kelulusan pembayaran.
“Bagi yuran guaman, semua invois disertakan dengan lembaran masa yang terperinci, yang membutirkan setiap tugas yang dilaksanakan bagi setiap jam yang dicaj di dalam invois-invois tersebut dan juga dokumen-dokumen sokongan untuk semua perbelanjaan yang telah dibelanjakan,” katanya.
Thomas berkata jualan itu telah membuktikan ialah kemampuan sistem perundangan negara ini untuk memberikan perkhidmatan bertaraf dunia dalam cabang perundangan yang khusus, undang-undang Admiralti, dan dalam pemberian perkhidmatan-perkhidmatan sokongan sampingan bagi memastikan kapal layar besar tersebut berada dalam keadaan yang baik dan selamat selama sembilan bulan.

