Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam akan mengkaji pelantikan Abdul Hamid Bador sebagai ketua polios negara dan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai ketua hakim negara.

Pengerusi jawatankuasa itu, William Leong berkata panel tersebut akan bermesyuarat bersama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mengenai pelantikan Tengku Maimun.

Bagaimanapun, katanya jawatankuasa itu belum lagi menetapkan tarikh membincangkan pelantikan Abdul Hamid.

"Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen hendaklah membincangkan dan mengkaji semula pelantikan ketua hakim negara dan ketua polis negara dalam semangat perlembagaan persekutuan, perundangan khusus tertentu dan terma rujukan jawatankuasa pilihan tertentu, dalam menjalankan kuasa daripada badan perundangan sebagai tiang seri kedua pemerintahan negara.

"Perbincangan dan semakan semula pelantikan oleh jawatankuasa pilihan khas adalah untuk meneruskan aspirasi yang dinyatakan pada janji ke-12 dan janji ke-16 manifesto Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Leong berkata ini khusus mengenai pemulihan martabat parlimen supaya institusi itu menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kuasa pihak eksekutif.

Buat masa ini, jawatankuasa khas parlimen itu belum lagi mempunyai kuasa untuk mengesahkan perlantikan utama kerana undang-undang yang berkaitan masih belum dipinda.