Banjir di Shah Alam hampir pulih, penduduk diberi pampasan
Paras air di kawasan yang dilanda banjir di Shah Alam terutama di dua kawasan yang paling teruk iaitu Kampung Kebun Bunga Batu Tiga dan TTDI Jaya semakin pulih hari ini.
Paras air di kawasan yang dilanda banjir di Shah Alam terutama di dua kawasan yang paling teruk iaitu Kampung Kebun Bunga Batu Tiga dan TTDI Jaya semakin pulih hari ini.
Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor berkata purata bacaan paras air di dua kawasan itu pada 8 pagi ini suah kurang dari paras 3 meter.
Banjir yang dianggap terburuk dalam tempoh 10 tahun di bandar raya ini bermula awal pagi Sabtu berikutan hujan lebat dan menenggelamkan kira-kira 4,000 rumah di enam kawasan serta menyebabkan beberapa laluan lebuh raya terpaksa ditutup.
Seramai 1,240 penduduk dari 260 keluarga dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan ekoran banjir itu sebelum kebanyakan mereka pulang ke rumah masing-masing menjelang malam semalam.
Kurang daripada 500 mangsa banjir masih berada di Dewan Orang Ramai Kebun Bunga.
Lalu lintas di laluan yang terjejas akibat banjir di dua lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Persekutuan kembali normal hari ini.
"Trafik dan kesesakan itu memang ada, maklumlah hari Isnin orang pergi kerja," kata jurucakap Plus Expressways Bhd, pengendali dua lebuh raya itu.
Jurucakap polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pula berkata lalu lintas di beberapa laluan mengalami sedikit kesesakan kerana lampu isyarat yang tidak berfungsi setelah Tenaga Nasional Bhd memotong bekalan elektrik akibat banjir semalam.
Sementara itu Bernama melaporkan, kerajaan negeri Selangor akan memberi pampasan bagi menanggung kos pembersihan rumah penduduk yang dinaiki air di sekitar Shah Alam.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mengumnumkan perkara itu bagaimanapun tidak menyatakan jumlah pampasan bagi setiap keluarga itu.
Bagaimanapun, Dr. Mohamad Khir berkata tidak semua mangsa yang terlibat dalam banjir itu akan diberi pampasan.
"Kita tidak boleh bagi pampasan pada semua keluarga. Kita akan buat kajian terlebih dahulu. Kalau penduduk nak minta pampasan kerosakan yang disebabkan hujan daripada kerajaan, kita pun tidak boleh bagi sebab kita pun tiada sumber kewangan kerana kerajaan nak buat pembangunan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau keadaan banjir di TTDI Jaya, Shah Alam semalam.
Dr. Mohamad Khir berkata dianggarkan 4,000 buah rumah di Shah Alam terlibat dalam banjir awal pagi semalam di mana sebanyak 1,240 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

