Pesawat kargo tergelincir di lapangan terbang Kuching
Sebuah pesawat kargo terbabas di hujung landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), sewaktu mendarat kira-kira pukul 6.20 pagi tadi.
Sebuah pesawat kargo terbabas di hujung landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), sewaktu mendarat kira-kira pukul 6.20 pagi tadi.
Pesawat, yang mempamerkan logo syarikat perkhidmatan kiriman cepat DHL, itu dipercayai terbabas semasa melakukan pendaratan ketika hujan.
Pengurus LTAK Abang Abdullah Abang Joss mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut dan berkata beliau hanya akan memberi maklumat lanjut mengenai kejadian setelah kerja-kerja pemulihan bagi mengeluarkan pesawat ke landasan selesai.
Menurut laporan Bernama, kejadian itu menyebabkan landasan ditutup sementara waktu dan semua penerbangan masuk dan keluar ke LTAK pada sebelah pagi ini ditangguhkan.
Didapati kira-kira 1,000 penumpang terkandas apabila jadual penerbangan mereka ditangguhkan pagi ini.
Menurut paparan maklumat penerbangan untuk perlepasan dan ketibaan sebanyak 14 penerbangan keluar dan sembilan ketibaan di LTAK ditangguhkan.
Kejadian pesawat tergelincir di LTAK ini merupakan yang kedua dalam tempoh seminggu.
Sebelum ini, pesawat Airbus A330, milik Penerbangan Malaysia (MAS) tergelincir dan terbenam dalam tanah di hujung landasan ketika membuat pusingan "U" sewaktu hendak berlepas ke Kuala Lumpur pada 19 Februari lepas.

