Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRK Sandakan pertempuran antara PH dan BN, kata Anwar

PRK SANDAKAN | Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) Sabtu ini di Sandakan sebagai medan pertempuran antara PH dan pakatan Umno-PAS.

"Apa itu PBS? Ini medan perang antara PH dan BN, dengan parti-parti utama Umno dan PAS," kata Anwar kepada orang ramai dalam ceramah di Bandar Prima malam tadi.

"Anda di Sandakan perlu membuat keputusan sama ada anda mahu negara ini menjaga orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan, atau hanya Melayu sahaja," tambahnya.

Anwar juga menegaskan bahawa kerajaan PH menyasarkan untuk melaksanakan dasar berasaskan keperluan tanpa mengira bangsa.

"Kali terakhir ketika saya berada di Pulau Pinang, ada seorang lelaki Cina yang mengayuh beca, dan saya memintanya untuk membawa saya ke suatu tempat.

"Dia bawa beca, tapi apa yang kita panggil dia? Tauke (bos).

"Sebab itulah Umno sering berkata tidak ada keperluan untuk membantu orang Cina kerana mereka tauke, tetapi (tanggapan) ini salah," katanya.

Kira-kira 1,500 hadir program ceramah semalam, dengan kebanyakannya orang Cina, sekali gus menjadikan ceramah itu paling ramai dalam kempen PRK Sandakan.

 

Selepas Anwar menyampaikan ceramah, pengerusi majlis meminta orang ramai untuk memegang telefon bimbit mereka dengan lampu suluh.

PBS meletakkan naib presidennya Linda Tsen bagi berdepan calon DAP, Vivian Wong dalam pilihan raya kecil Sandakan, yang diadakan selepas kematian bapa Wong yang merupakan penyandang ahli parlimen itu, Stephen Wong.

Beberapa parti pembangkang lain memberi sokongan kepada PBS dalam pilihan raya kecil ini, termasuk Umno Sabah, PAS, Usno dan Star.

Penceramah lain yang hadir semalam termasuklah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Hari pengundian ditetapkan pada 11 Mei.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS