Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan Sabah tak cadang semak cukai jualan sawit negeri

Kerajaan Sabah tidak bercadang untuk menyemak semula cukai jualan kelapa sawit memandangkan kedudukan kewangan yang belum kukuh.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong berkata kerajaan negeri perlu diberi lebih masa sehingga keadaan bertambah baik.

"Itu dasar yang diwarisi dari BN. Buat masa ini, kita perlu berterus-terang - kita perlu membuat pelbagai penyesuaian dari segi kewangan.

"Bukan kita tidak ingin menilai semula (cukai jualan kelapa sawit) tetapi kita berdepan kekurangan sumber kewangan memandangkan kita berdepan hutang yang tinggi," katanya kepada pemberita ketika melawat perusahaan pembiakan ketam pertama Sabah, di Sandakan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kejatuhan harga kelapa sawit dan aduan peladang berkenaan cukai jualan kelapa sawit yang tinggi oleh kerajaan negeri.

Ia susulan rayuan peladang kelapa sawit negeri itu yang menggesa kerajaan negeri memansuhkan cukai itu yang kini pada kadar 7.5 peratus memandangkan kejatuhan harga komoditi tersebut.

Selain cukai kepada kerajaan negeri itu, peladang juga mengeluh apabila mereka turut dikenakan cukai oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun Kementerian Industri Utama Persekutuan pada 1 Mei lalu mengumumkan penangguhan cukai eksport itu bermula tarikh tersebut sehingga 31 Disember 2019.

Sebelum ini, peladang dikenakan cukai eksport 4.5 peratus apabila harga CPO melebihi RM2,250 satu tan.

Mengulas lanjut, Wong berkata antara punca kemerosotan sumber kewangan kerajaan negeri ialah langkah mengharamkan eksport balak sejak Mei lalu - sejak Warisan mentadbir negeri itu.

“Kita telah mengharamkan eksport kayu balak... Kita telah kehilangan hasil dan perlu menilai semula kedudukan kewangan negeri.

“Anda perlu beri sedikit masa dan kita memang mengunakan hasil (cukai jualan kelapa sawit) untuk menyumbang kembali kepada pemain industri kelapa sawit, selain untuk infrastrutur dan jalan raya," katanya lagi.

Dalam belanjawan negeri Sabah 2019, cukai tersebut menjadi hasil kedua besar untuk perbendaharaan negeri - selepas royalti petroleum - dengan jangkaan sumbangan RM900 juta.

Hab pembiakan ketam

Sementara itu, Wong berkata kerajaan negeri akan membantu pengusaha pembiakan ketam di Sandakan untuk mengurangkan kebergantungan kepada benih ketam dari Indonesia.

“Kita lihat Sandakan ada potensi dan kita akan bangunkan hab pembiakan ketam untuk negeri ini.

“Ini berkenaan perniagaan berbilion ringgit. Saya difahamkan jika kita eksport ke Fujian di China, harganya boleh mencecah RM180 sekilogram," katanya lagi, yakin perusahaan itu mampu menggerakkan ekonomi Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata kualiti ketam negeri itu masih perlu dipertingkatkan, antaranya dari segi saiz daripada 250 gram kepada 1kg seekor.

Ia perlu dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran dan mutu ketam tempatan dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa, katanya lagi.

Lihat Komen
ADS